
''Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Surah al-Baqarah ayat 286)
Berlinang air mata Mak Lijah dengan kelakuan degil anaknya. Lina kini benar-benar telah berubah. Tidak seperti dulu, semasa suaminya masih hidup, Lina seorang anak yang patuh dan taat. Mak Lijah tidak tahu entah bagaimana anaknya telah berubah. Seolah-olah anak itu telah menjadi orang lain.. Mak Lijah sedar, anaknya terlalu bersedih dengan kematian Pak Akob. Mungkin inilah jalan yang dipilih bagi menghiburkan hatinya yang lara. Tetapi, bukan ini jalan yang sebenarnya. Lina masih boleh berubah kembali ke pangkal jalan. Hati tuanya terlalu risau dengan keselamatan anak gadisnya. Beliau hanya mampu berdoa pada Allah mohon diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan dan cabaran ini. Hatinya berbisik, Allah tetap bersama dengan hamba-hambaNya yang bersabar. Mungkin juga, ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya.
Di bandar, Lina begitu seronok bertemu kawan-kawannya. Sedikit pun dia tidak kasihan pada ibunya yang terlalu kasihkannya. Hidup Lina kini berubah seratus-peratus. Jika dahulu, Lina tidak pandai bergaul dengan kawan yang sebegitu, tetapi kini Lina telah menjadi sebahagian dari hidup mereka. Bagaikan dunia ini mereka yang punya. Mereka langsung tidak mempedulikan orang ramai yang benci melihat keadaan mereka. Bagi mereka, apa sahaja yang ingin dilakukan, tiada siapa yang dapat menghalang. Jika dihalang, mereka akan melawan. Tiada siapa yang mampu untuk menegur dan menghalang perbuatan mereka. Mereka bukan sahaja membuat bising, malahan turut menganggu orang ramai yang lalu lalang.Bersambung kemudian..