Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Hujan lebat tidak henti-henti membasahi bumi pada pagi itu sejak semalam. Matahari seolah-olah malas untuk muncul memancarkan cahaya. Langit gelap menunjukkan tiada tanda untuk matahari muncul. Suasana pada pagi itu hening seketika. Hujan yang turun seolah-olah turut menangisi pemergian Pak Akob yang telah menyahut seruan Ilahi petang semalam. Keluarga Pak Akob masih lagi bersedih dengan pemergiannya. Namun begitu, mereka redha dengan pemergiannya. Bagi mereka, biarlah Pak Akob pergi mengadap Ilahi kerana beliau telah lama menanggung derita akibat penyakit Kanser sejak setahun yang lalu. Kini, tinggallah isteri yang dikasihi dan seorang anak perempuan yang disayangi.

Bermula pada saat itu, Mak Lijah mengambil alih tugas suaminya sebagai ketua keluarga. Beliau mengambil upah menjahit pakaian di kampung itu. Satu-satunya anak gadisnya, Lina masih bersekolah di Tingkatan Lima dan bakal mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. Hidup mereka bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Wang yang mereka ada hanyalah cukup-cukup untuk menampung kehidupan mereka.

Tiga bulan selanjutnya, kehidupan mereka berdua mula diuji Allah. Lina sudah mula bergaul dengan kawan-kawan yang tidak baik. Dia bukan sahaja mula berani ponteng sekolah, malahan dia sudah mula berani keluar malam melepak di bandar bersama kawannya. Pada mulanya, Mak Lijah tidak menyedari perubahan yang telah berlaku pada anak gadisnya, tetapi sejak akhir-akhir ini Lina sudah pandai keluar malam dan pulang pada awal pagi tanpa memberitahunya. Guru kelasnya sering kali datang ke rumah bertanyakan sebab Lina tidak ke sekolah. Mak Lijah sendiri tidak tahu alasan apa yang ingin diberikan. Bahkan, beliau tidak tahu anaknya ponteng sekolah. Setiap hari, Lina berpakaian sekolah dan menaiki bas seperti biasa. Rupa-rupanya, Lina membawa sehelai baju persalinan di dalam beg. Tiba di bandar, dia akan menukar pakaian seragam sekolahnya. Ibunya sendiri tidak mampu untuk menghantar Lina ke sekolah. Mereka tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak. Bas awamlah yang menjadi kenderaan mereka untuk bergerak. Puas ditegur dan dinasihati, Lina telah berubah menjadi seorang anak yang sangat degil. Mak Lijah tidak mampu lagi menasihati, apa yang dia dapat hanyalah kata-kata kesat. Begitu kuat pengaruh kawan-kawannya. Mak Lijah semakin sayu dan bersedih, sudahlah mereka baru sahaja kematian Pak Akob, kini anak gadisnya pula mula membuat onar.

Bersambung kemudian...


0 comments:

Post a Comment