Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Hujan lebat tidak henti-henti membasahi bumi pada pagi itu sejak semalam. Matahari seolah-olah malas untuk muncul memancarkan cahaya. Langit gelap menunjukkan tiada tanda untuk matahari muncul. Suasana pada pagi itu hening seketika. Hujan yang turun seolah-olah turut menangisi pemergian Pak Akob yang telah menyahut seruan Ilahi petang semalam. Keluarga Pak Akob masih lagi bersedih dengan pemergiannya. Namun begitu, mereka redha dengan pemergiannya. Bagi mereka, biarlah Pak Akob pergi mengadap Ilahi kerana beliau telah lama menanggung derita akibat penyakit Kanser sejak setahun yang lalu. Kini, tinggallah isteri yang dikasihi dan seorang anak perempuan yang disayangi.

Bermula pada saat itu, Mak Lijah mengambil alih tugas suaminya sebagai ketua keluarga. Beliau mengambil upah menjahit pakaian di kampung itu. Satu-satunya anak gadisnya, Lina masih bersekolah di Tingkatan Lima dan bakal mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. Hidup mereka bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Wang yang mereka ada hanyalah cukup-cukup untuk menampung kehidupan mereka.

Tiga bulan selanjutnya, kehidupan mereka berdua mula diuji Allah. Lina sudah mula bergaul dengan kawan-kawan yang tidak baik. Dia bukan sahaja mula berani ponteng sekolah, malahan dia sudah mula berani keluar malam melepak di bandar bersama kawannya. Pada mulanya, Mak Lijah tidak menyedari perubahan yang telah berlaku pada anak gadisnya, tetapi sejak akhir-akhir ini Lina sudah pandai keluar malam dan pulang pada awal pagi tanpa memberitahunya. Guru kelasnya sering kali datang ke rumah bertanyakan sebab Lina tidak ke sekolah. Mak Lijah sendiri tidak tahu alasan apa yang ingin diberikan. Bahkan, beliau tidak tahu anaknya ponteng sekolah. Setiap hari, Lina berpakaian sekolah dan menaiki bas seperti biasa. Rupa-rupanya, Lina membawa sehelai baju persalinan di dalam beg. Tiba di bandar, dia akan menukar pakaian seragam sekolahnya. Ibunya sendiri tidak mampu untuk menghantar Lina ke sekolah. Mereka tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak. Bas awamlah yang menjadi kenderaan mereka untuk bergerak. Puas ditegur dan dinasihati, Lina telah berubah menjadi seorang anak yang sangat degil. Mak Lijah tidak mampu lagi menasihati, apa yang dia dapat hanyalah kata-kata kesat. Begitu kuat pengaruh kawan-kawannya. Mak Lijah semakin sayu dan bersedih, sudahlah mereka baru sahaja kematian Pak Akob, kini anak gadisnya pula mula membuat onar.

Bersambung kemudian...



Di kala kesepian ini

Muhasabah ku sendiri

Memikirkan kejadian Maha Pencipta

Merenungi kekurangan diri

Menginsafi kejadian diri

Tak terhitung segala dosaku

Sesungguhnya,

Betapa lemahnya diri ku ini

HambaNya yang penuh dengan kelemahan

Yang sentiasa bergelumang dengan dosa

Betapa aku hanyalah insan yang penuh dengan kedaifan

Di kala kesepian ini

Muhasabah ku lagi

Mampukah aku untuk menjadi seorang mujahidah solehah

Yang tetap kukuh imannya mempertahankan Islam

Yang tidak pernah kenal erti putus asa

Yang membantu dalam memperjuangkan Islam

Ah, betapa kerdilnya diri ku ini

Tiada jawapan yang dapat ku berikan

Betapa jauhnya aku berbanding mujahidah Palestin

Yang sanggup mengorbankan segalanya demi kegemilangan Islam

Di kala kesepian ini

Aku bermuhasabah sendiri

Mampukah aku untuk menjadi sayap kiri perjuangan sang suami

Mampukah aku untuk mendidik anak-anakku

Mampukah aku untuk membahagiakan suamiku

Mampukah aku untuk menjadi seorang isteri yang solehah

Yang taat dalam memenuhi perintah suaminya

Mampukah aku menghadapi semua itu?

Terdiam ku seketika

Puas sudah aku memikirkan jawapannya

Namun,

Tiada jawapan yang dapat ku katakan

Betapa aku begitu lemah disisi-Nya

Padamu Ya Allah

Jadikanlah aku insan yang mampu berbakti pada insan lain

Jadikanlah aku thabat dalam perjuangan

Jadikanlah aku insan yang tidak kenal erti penat lelah

Jadikanlah aku ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan

Dan masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit

Yang mengamalkan amar makruf nahi mungkar

Demi mengejar keredhaan-Mu

Mengecap kemanisan bermujahadah.

Menjadikan syahid sebagai cita-cita tertinggi

Dan syahid kerana memperjuangkan Islam

Agar Islam dapat diperjuangkan kembali

Islam dapat ditegakkan di muka bumi ini

Mengulangi kembali sejarah kegemilangan Islam pada masa dahulu

Menjadikan sejarah perjuangan Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, dan Saidatina Fatimah sebagai ikutan sepanjang zaman

Mengangkat kembali martabat Islam

Mengangkat kembali maruah Islam yang diinjak-injak

Dan pada saat itu

Islam pasti beroleh kemenangan!