Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا

Assalamualaikum wbt. Seperti mana artikel sebelum ini, artikel ini juga diambil dari sumber lain. Artikel ini diterima dari mesej Facebook. Saya memohon maaf kepada semua kerana masih tidak berkesempatan untuk menulis sebuah artikel sendiri. Namun, apa yang penting ialah pengajaran dari artikel ini. Moga-moga, ianya memberi manfaat pada semua.

Ruang menunggu di klinik itu masih penuh dengan pengunjung. Aku duduk di salah satu sudut bersebelahan dengan seorang wanita seusiaku. Rasa letih yang amat sangat dan sendi yang terasa sakit ditambah pula dengan pening di kepala terasa semakin berat. Aroma wangi perfume dari wanita muda di sebelahku menambahkan rasa mual dalam perut ini. Syukurlah namaku segera dipanggil oleh seorang jururawat yang manis. Aku segera masuk menemui doktor. Seraut wajah yang keletihan menyambutku dengan senyuman nipis. Aku lalu duduk di kerusi berhadapan dengannya.

'' Puan Sarah ?” tanyanya. Aku mengangguk. ” Saya sudah melihat keputusan makmal, puan positif.” Tambahnya pula.” Bagaimana doktor ?” tanyaku untuk mendapat kepastian. ” Anda hamil.” Doktor memberitahu bahawa usia kandunganku yang sebenarnya dalam peringkat awal. Rasa bahagia menyelinap di hatiku. Bertahun-tahun aku menantikannya.

Ya Allah, hanya sebaris kalimat syukur terluncur dari bibirku yang bergetar menahan perasaan terharu. Doktor memeriksa dengan cermat. Betapa telitinya hingga terasa begitu lama masa berlalu. Akhirnya doktor mengatakan bahawa keadaanku normal. Begitu juga dengan janin yang kukandung. Aku diberi vitamin dan penambah metabolisme. Aku pulang dengan rasa bahagia yang tidak terkata. Hilang rasa letihku. Hilang segala rasa sakit dalam tubuhku yang terhapus oleh rasa bahagia menyedari hadirnya buah hati dalam rahimku.

Setibanya di rumah, ku panjatkan rasa bahagiaku dalam sujud syukur kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, kurnia Mu tidak pernah putus-putus merahmati hidupku. Ya Ilahi, kalau bukan kerana Engkau tidak mungkin aku mengenali solat, tidak mungkin aku mengenali hidayah dan nikmatnya beribadah kepada Engkau. Segala puji hanya untuk Mu. Suamiku, aku menanti kau pulang dengan hati yang girang. Ingin ku khabarkan segera berita gembira ini. Aku tahu telah sekian lama kau menantikan berita ini terucap dari bibirku. Aku hampir tidak sabar dalam menantimu. Namun,sehingga lewat senja kau masih juga belum pulang.

Hidangan yang telah aku siapkan mula sejuk. Aku menghibur hatiku dengan mengatakan bahawa kau sedang sibuk menyiapkan pelbagai urusan dan kerja. Aku menyibukkan fikiranku dengan membaca al-Qur'an dan wirid ma'thurat. Semoga kau berada dalam perlindungan Allah. Menjelang Isyak baru kau tiba. Dalam kepenatan aku menangkap sebening cahaya dari sepasang matamu yang redup. Bersinar kemilau cahaya namun sukar untuk ditafsirkan. Dengan nada lembut kau memohon maaf kerana terlambat pulang. Ada urusan penting yang menyebabkan kau lambat tiba. Buatku sendiri, melihat dirimu saja sudah cukup menenangkan perasaanku, menghapus penantian yang terasa amat panjang. Apabila melihat kau begitu letih, aku membatalkan niat untuk menyampaikan berita itu. Akan kutunggu hingga hilang penatmu, aku menanti hingga kau segar kembali.

Usai Solat Isyak berjemaah, kau mengajakku untuk berbicara. Ketika itu fahamlah aku bahawa ada sinar bahagia apa yang terpancar di matamu saat kau pulang tadi. Inilah kenangan manis yang sangat penting dalam hidupku. Dapat kurasakan kebahagiaanmu dan akupun bahagia kerananya. Namun, tiba-tiba terasa ada sesuatu yang menyentap jiwaku. Sesungguhnya apa yang kau katakan adalah ikrar dan cita-cita kita sejak lama. Tetapi saat ini aku merasakannya sebagai sesuatu yang teramat berat. Aku memerlukan segunung ketabahan dan kekuatan iman! Perasaan cinta dan sayangku kepadamu tidak dapat digambarkan. Meskipun aku begitu menyedari bahawa cinta pada Allah harus diutamakan dari segalanya. Apa yang ada padaku saat ini bukanlah milikku.

Hanya kurnia Allah yang dapat membuatku merasakan ni'matnya Iman dan Islam di sisimu. Dan kini, mestikah aku menghalang apa yang bukan milikku ketika Sang Pencipta memintanya? Haruskah aku melepaskan kebahagiaan yang baru saja aku rasakan? Haruskah? Jantungku berdegup kencang. Bertarung antara suara hati nuraniku demi melawan emosi dan nafsu. Antara keikhlasan dalam cinta kepada-Nya dan cinta kepada suami dan anakku yang belum lagi lahir. Ya Ilahi, mestikah aku kehilangan saat-saat bahagia yang sedang digenggam dengan merelakan suamiku pergi yang mungkin akan kembali atau tidak? Dan anakku, ia akan menjadi yatim sebelum sempat menatap wajah ayahnya. Lalu, bagaimanakah akan kuhadapi hidup ini tanpa dirinya lagi, tanpa bimbingan dan perlindungannya? Sanggupkah aku? Di kemuncak pergolakan perasaanku, terngiang-ngiang ditelingaku beberapa ayat Nya mematikan gelodak hati yang mula dihasut syaitan.

" Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya "

" Katakanlah : jika bapa-bapamu, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiti kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan jihad di jalan-Nya maka tunggulah sampai Allah mendatangkan hukuman-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq "

Bagaikan tersedar kembali, ianya meruntuhkan gelodak perasaan. Perasaan ingin menghalang akhirnya runtuh sedikit demi sedikit. Ya Allah, aku lebih takutkan murkaMu. Ya Ilahi, kau hilangkan perasaan ini. Redhakan hatiku dengan pemergian suamiku. Jangan kau palingkan rahmatMu dari hidupku agar tidak mendapat kemurkaanMu. Ya Rabbul Izzati, jadikan hatiku redha dan rela!

Aku memohon keredhaanMu. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu juga. Ada rasa lapang di dada. Aku pasrah. Ada sesuatu perasaan yang muncul ketika malaikat membukakan pintu langit. Saat kau bertanya bagaimana pendapatku; dengan bangganya kukatakan padamu :" Bukankah sejak kita menikah telah kita ikrarkan bahwa perkahwinan ini adalah sebahagian dari perjuangan? Telah kita tetapkan syahid melebihi kehendak yang lain, masih ingatkah engkau? Kini, adakah aku akan menghalangmu untuk menggapai cita-cita kita itu?

Tidak, suamiku. Kurnia Allah yang diberikan kepada kita dalam Iman dan Islam jauh lebih besar dari pengorbanan yang harus kita lakukan saat ini. Benar, kasihku padamu terlalu dalam. Namun itu semua kerana cinta kepada Allah jua. Pergilah, bang. Insya Allah saya akan tabah. Doakan agar saya cekal dan tabah dalam meniti perjalanan hidup ini hingga Allah mempertemukan kita kembali di akhirat kelak."

Selesai kata-kata itu, aku memohon maaf andai selama kita bersama ada sikapku yang kurang kau sukai. Kau hanya menghadiahkan sebuah senyuman yang penuh makna. Sejuk hatiku dengan sikap dan akhlakmu. Kau begitu memuliakanku selama ini padahal aku bukanlah orang yang layak menerima kehormatan seperti itu. Pedih hati ini mengingatkan kelemahanku, namun terubat perasaanku ketika kau mengatakan bahawa kau sangat berharap doa dariku. Malam bergerak perlahan. Bulan tersenyum ketika ku singkap tirai jendela kamar. Aku masih terjaga ketika kau telah terlelap dalam letihmu setelah seharian bekerja.

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment