Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Assalamualaikum wbt kepada semua pengunjung. Sekian lama saya membiarkan blog terbiar tanpa input yang bermanfaat. Kali ini, saya cuba untuk memberi sesuatu yang bermanfaat. Biarpun ia sebenarnya bukan ditulis saya sendiri. Namun, saya berasa bertanggungjawab untuk menyebarkannya. Sebentar tadi, saya baru menerima mesej di Facebook. Inilah yang ingin dikongsikan untuk semua pengunjung
. Moga-moga ianya memberi manfaat kepada kita semua.

Nama Salman Al Farisi tidak asing lagi dalam golongan para pejuang dan pembela agama Allah. Ketakwaannya disegani di antara kaum muslimin. Keimanannya yang begitu mendalam bahawa hanya Allah yang Maha Besar, sementara yang lain begitu kecil di hadapannya. Demikian juga sikapnya menghadapi masalah-masalah yang bersifat keduniaan, termasuk urusan cinta.

Dikisahkan, Salman Al Farisi hendak melamar seorang gadis. Sebagai manusia biasa yang memiliki fitrah cinta, ia jatuh hati pada seorang muslimah solehah penduduk asal kota Madinah. Maksud suci ini kemudian disampaikan kepada Abu Darda’, seorang saudara yang dipertemukan atas nama aqidah.

Abu Darda’ dengan senang hati menerima permintaan Salman. Ia bergegas meminta saudaranya ini untuk menemui wali si gadis.

“Perkenalkan saya adalah Abu Darda’, dan ini adalah saudara saya Salman yang berasal dari Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang mulia disisi Rasulullah SAW, bahkan ia diberi kehormatan sebagai ahlul-baitnya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini untuk melamar puteri anda, "ucap Abu Darda' menyampaikan maksud dan tujuan.

Lamaran itu bersambut, “Kami berasa dihormati kerana menerima tetamu dua sahabat Rasulullah yang mulia. Menjadi kehormatan pula bagi keluarga kami jika dapat memiliki seorang menantu dari salah satu sahabat Rasul yang agung. Akan tetapi, kami serahkan sepenuhnya jawapan kepada lamaran ini pada puteri kami.”

Setelah berbincang, ibu si gadis pilihan Salman itu mewakili untuk menjawab. “Mohon maaf sebelumnya jika apa yang kami sampaikan kurang berkenan. Dengan tetap mengharap redha Allah, puteri kami menolak lamaran Salman,” jawab si ibu.

Belum sempat Salman menjawab jawapan itu, si ibu meneruskan perkataannya. “Akan tetapi, jika Abu Darda’ mempunyai niat yang sama untuk melamar putreri kami, maka kami akan menerimanya,” kata si ibu.

Salman berasa kecewa. Kekecewaan yang amat sangat. Bukan sahaja niat menyunting si gadis ditolak, tetapi saudaranya Abu Darda' yang diminta untuk menyunting si gadis. Hati Salman sedang diuji.

Allahu Akbar!” ujar Salman cuba melupakan gelora hatinya.

”Semua mahar dan nafkah yang kupersiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian,” ucapnya tanpa ragu.

Menakjubkan. Kekecewaan Salman bertukar kepada keikhlasan yang tiada tara. Salman Al Farisi dengan ketakwaannya yang tinggi memberikan pengajaran tentang sebuah kesedaran. Kesedaran bahawa cinta yang diinginkan tidak semestinya akan dimiliki. Kesedaran tentang bagaimana semestinya menyalurkan rasa cinta yang Allah kehendaki untuk kita.

Salman telah memberi pengajaran bahawa sebagai pejuang, kita harus bijak mengawal rasa cinta, bukan menurut kehendaknya. Kita harus mampu mengendalikan nafsu dan perasaan, bukan dikendalikannya. Sungguh indah bila mana cinta dan nafsu itu disertai dengan keimanan yang tiada taranya kepada Allah dan Rasulnya.

Dan semoga kita mendapat yang terbaik, yang dipilih Allah untuk menjadi teman di dunia untuk berjuang dalam agama dan menjadi ketua bidadari bagi seorang lelaki penghuni syurga di akhirat.

0 comments:

Post a Comment