Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Sambungan kisah terdahulu:

Dalam hening kutatap wajahmu, kukirim sebait doa di tengah kesunyian. Suamiku, sungguh kasih sayang Allah yang tak terhingga ketika mempertemukanmu kepadaku sebagai suami yang begitu baik buatku. Ketika itu aku tercari-cari dalam mencari kebenaran. Tanganku tergapai-gapai mencari tempat bergantung. Ketika itulah atas takdir Allah kau hadir dalam hidupku menyambutku, membimbingku dari kehidupan yang jahil kepada Islam yang gemilang. Kau bawa kehidupanku penuh makna di bawah bimbingan rabbani. Kau membetulkan cara berfikir dan cara bertindakku. Lalu kau mengarahkan aku agar dapat berjalan sendiri. Hidup bersamamu bukannya dipenuhi dengan harta kemewahan. Aku sering ditinggalkan tatkala kau pergi melaksanakan tugasan. Namun itulah cara terbaik buatku. Hanya kepada Allah tempatku bergantung dan berharap. Dan kini kau akan meninggalkanku untuk cita-cita tertinggimu. Firasatku mengatakan kau tidak akan kembali lagi.

Sesaat itu, aku teringat pada anak kita. Ah, anak kita. Aku belum sempat lagi menceritakan kepadamu. Semoga ia mewarisi sifat baikmu. Apa yang harus kulakukan kini? Dalam doa yang kudus kumohon pertolongan dari-Nya. Kuhapus air mata yang menitis agar tak sempat terlihat olehmu.

Namun, ikatan hati antara kita begitu kuat, mengatasi ruang dan waktu, mengatasi mimpi indah yang memberitahu suara hati dari lubuk jantung yang paling dalam. Tiba-tiba sahaja kau terjaga dari tidurmu. ” Apakah yang ingin sayang katakan? ” suaramu lirih seperti desir angin di tengah malam. Perlukah untuk kukatakan kepadamu tentang si kecil yang mulai berada dalam rahimku? Wahai suamiku, bukan aku tidak yakin pada kekuatanmu apabila mendengar berita ini kerana aku percaya bahawa kau seorang yang istiqamah. Hanya kerana aku ingin menutup serapat mungkin pintu fitnah yang dapat kutimbulkan terhadapmu dariku dan anak kita.

Tetapi dapatkah kusembunyikan hal ini darimu? Adakah terjaganya kau merupakan isyarat dari Allah? Dan bukankah ini merupakan satu bentuk ujian dari-Nya? Aku mendekati dirimu. ” Abang.” Aku memanggil ” Janganlah apa yang akan saya sampaikan ini menjadikan penghalang dari langkah yang telah abang putuskan. ”Kau tersenyum tanpa sedikit pun mengalih perhatianmu akan kata-kataku. ” Insya Allah sepeninggalan abang nanti saya tidak akan merasa sendirian. Kerana Allah sentiasa disisi dan akan lahirnya mujahid kecil yang akan saya jaga sebaik-baiknya” kataku. Suasana menjadi sepi sesaat. Sejenak aku melihat kau terpegun. Aku mengerti perasaanmu. Bukankah sudah lama kau menantikan hadirnya buah cinta kita ?” Abang,” sambungku ,” bukannya saya sangsi akan keteguhan hati abang, tapi kerana saya tidak ingin isteri dan anakmu ini menjadi fitnah bagi melaksanakan tekad suci kita. Abang tidak boleh berundur. Usah berasa risau kerana masih ada saya yang akan membesarkan anak kita dan ada Allah yang akan melindungi kami selalu..” Aku berusaha untuk tetap kuat.

Kusingkirkan jauh-jauh perasaan hiba dan kesedihanku yang aku tahu menjadi titik kelemahanku. Kau merenung aku dengan penuh kasih sayang. ” Sayang,” ujarmu, ” Kau adalah sebaik-baik nikmat yang Allah anugerahkan padaku.” Ah, suaramu itu begitu sejuk seperti terpercik air syurga. Ada rasa bahagia di hati. Ada rasa syahdu menyelinap di jiwa. Malam masih belum lewat ketika kita berdua sama-sama bersujud mengadapkan wajah dan hati kita kepada Allah. Sinar nur Ilahi terasa menaungi kita berdua. Suamiku, tidak lama setelah itu kau benar-benar berangkat menuju bumi jihad. Ambon hingga kini masih menangis. Bumi Aceh sudah lama merintih. Masih belum sembuh luka di Palestin, Bosnia, Kosovo, Moro, Azerbaijan, Chechnya dan belahan bumi lainnya yang menjerit ditikam pisau kezaliman. Berangkatlah, wahai kekasihku. Jangan kau biarkan musuh Allah itu meragut nyawa orang-orang yang lemah dan anak-anak yang tak berdosa. Apabila teringat pada anak kita, ingatlah bahawa di sana lebih banyak lagi anak-anak yang terpaksa lahir sebelum waktunya. Dahsyatnya perang membuatkan mereka harus cepat untuk dilahirkan.

Sementara itu usia anak kita semakin bertambah. Membara semangat yang kental ke seluruh tubuhku. Ia mulai terasa bergerak dan berpadu dengan gagahnya seperti kau dengan gagahnya memerangi musuh di medan-medan pertempuran. Allahu Akbar! Suamiku, rinduku padamu bukanlah keinginan untuk bermesra dan memadu kasih, tapi aku rindukan suasana beribadah bersamamu. Ingin solat di belakangmu, ingin mencium tanganmu , meminta maaf dan bergurau denganmu kerana setiap kata yang terucap dari bibirmu adalah tarbiyah bagiku dan memberiku kekuatan ketika aku ditinggalkan.

Bila rindu datang mengusik, kubuka kembali buku-bukumu. Terhibur hati ini. Kurasakan seolah-olah kau hadir di sisiku. Namun terkadang bisikan yang tak kuingini datang juga. Betapa pintarnya syaitan mencari jalan untuk melemahkanku. Teringat aku akan kata-katamu bahawa cinta Allah mengatasi segalanya. Lantas aku bermunajat kepada Allah agar diberi kekuatan dan ketabahan dan semoga Ia mengampuniku. Abang, kini genap tujuh bulan usia anak kita dalam rahimku ketika suatu malam aku bermimpi berjumpa denganmu. Kau nampak sangat bercahaya. Kulihat bulan menyinari di atasmu, kupandang antara kau dan bulan namun kau nampak lebih indah bahkan bintang-bintang pun tak dapat menandingi wajahmu.

Aku terjaga. Hilang segala sedih dari hatiku. Sejuk perasaanku. Aku pun bersujud memohon rahmat Allah atasmu. Sahabat-sahabatku yang berta'lim di jalan Allah di rumah kita saling bertanya satu sama lain. Tiada seorang pun di antara kami yang memakai perfume! Kini, baru aku mengerti apabila seorang sahabatmu dan ayahnya datang mengucapkan takziah. Ya, kau sudah berada di tempat yang jauh. Tidak, kekasihku. Aku tidak akan mudah patah semangat dengan kepergianmu. Aku tahu engkau telah menepati janji. Kau tidak mati! Kau tetap hidup!!!!!

” Dan janganlah kamu mengatakan kepada orang-orang yang gugur di jalan Allah, mati ; bahkan mereka itu hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya.”

" Di antara orang-orang mu'min itu ada para lelaki yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur ada pula yang menanti-nanti (giliran) dan mereka sedikitpun tidak mengubah janjinya.”

Selamat jalan, Abang. Nantikan aku di sana. Kepergianmu adalah satu kepastian. Kini, ujian dan derita yang mesti kuhadapi tidak lagi kurasakan sebagai luka namun bagai angin sejuk yang menyegarkan semangat juangku. Hari-hari berlalu dengan semangat yang tak pernah padam. Saat kelahiran anak kita kian dekat. Rasa kesakitan yang hebat mulai dirasai dalam perutku. Aku tidak mampu lagi berjalan. Hari itu kubaca surah Yusuf, surah Maryam, surah Luqman dan surah Muhammad berulang-ulang kali. Kuhadiahkan buat anak kita yang bakal lahir. Tidak menjadi soal sama ada lelaki atau perempuan. Yang penting ia berakhlak mulia dan menjadi anak yang soleh yang bakal menyambung tugas para nabi, menyebarkan syi'ar Islam di muka bumi ini.

Ya Allah, tabahkan hatiku. Semoga dosaku akan turut terhapus dengan lahirnya anak dalam kandunganku ini. Ketika saatnya tiba, sahabat-sahabat kita yang baik membawaku ke hospital. Jeritan bayi yang lahir memecah kesunyian. Pekik tangisnya menghapus segala rasa sakitku. Alhamdulillah dia selamat. Dia tampan dan gagah sepertimu. Dia lelaki sepertimu. Saat aku menatap anak kita, hatiku tiba-tiba sayu. Mampukah aku menjadi ibu yang baik? Akupun berbisik padanya ,” Wahai anakku, janganlah kau ikuti sifat ibumu yang buruk. Milikilah sifat yang terpuji. Kau adalah harta yang paling berharga.” Kucium ia penuh kasih disaat tangis pertamanya memecah bumi. Ku namai anak kita dengan nama yang pernah kau sebut dulu. Semoga Allah mengabulkan doa dalam nama yang indah itu. Suamiku, satu langkah telah kutempuh. Beribu-ribu langkah lagi terbentang di hadapanku. Badai gelombang yang getir harus kuhadapi. Onak dan duri yang yang mendatang di sepanjang perjalanan harus ditempuhi. Angin puting beliung pun harus diharungi. Memang payah. Apatah lagi aku harus melangkah tanpamu. Namun aku yakin Allah sentiasa melindungiku.

Aku tahu cinta dan nafas perjuanganmu sentiasa mengisi hatiku. Ada rasa bangga mengenang kan dirimu. Dengan 'izzah inilah kan kubesarkan buah hati kita. Kekasihku, satu lagi janji harus kupenuhi. Aku ingin menghantarkan anak kita agar dapat menyusulmu. Kuingin ia sampai ke gerbang kecintaan-Nya. Aku akan tetap melangkah. Selangkah demi selangkah aku menapak. Satu langkah lagi. Ya satu langkah lagi!

Assalamualaikum wbt. Seperti mana artikel sebelum ini, artikel ini juga diambil dari sumber lain. Artikel ini diterima dari mesej Facebook. Saya memohon maaf kepada semua kerana masih tidak berkesempatan untuk menulis sebuah artikel sendiri. Namun, apa yang penting ialah pengajaran dari artikel ini. Moga-moga, ianya memberi manfaat pada semua.

Ruang menunggu di klinik itu masih penuh dengan pengunjung. Aku duduk di salah satu sudut bersebelahan dengan seorang wanita seusiaku. Rasa letih yang amat sangat dan sendi yang terasa sakit ditambah pula dengan pening di kepala terasa semakin berat. Aroma wangi perfume dari wanita muda di sebelahku menambahkan rasa mual dalam perut ini. Syukurlah namaku segera dipanggil oleh seorang jururawat yang manis. Aku segera masuk menemui doktor. Seraut wajah yang keletihan menyambutku dengan senyuman nipis. Aku lalu duduk di kerusi berhadapan dengannya.

'' Puan Sarah ?” tanyanya. Aku mengangguk. ” Saya sudah melihat keputusan makmal, puan positif.” Tambahnya pula.” Bagaimana doktor ?” tanyaku untuk mendapat kepastian. ” Anda hamil.” Doktor memberitahu bahawa usia kandunganku yang sebenarnya dalam peringkat awal. Rasa bahagia menyelinap di hatiku. Bertahun-tahun aku menantikannya.

Ya Allah, hanya sebaris kalimat syukur terluncur dari bibirku yang bergetar menahan perasaan terharu. Doktor memeriksa dengan cermat. Betapa telitinya hingga terasa begitu lama masa berlalu. Akhirnya doktor mengatakan bahawa keadaanku normal. Begitu juga dengan janin yang kukandung. Aku diberi vitamin dan penambah metabolisme. Aku pulang dengan rasa bahagia yang tidak terkata. Hilang rasa letihku. Hilang segala rasa sakit dalam tubuhku yang terhapus oleh rasa bahagia menyedari hadirnya buah hati dalam rahimku.

Setibanya di rumah, ku panjatkan rasa bahagiaku dalam sujud syukur kepada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, kurnia Mu tidak pernah putus-putus merahmati hidupku. Ya Ilahi, kalau bukan kerana Engkau tidak mungkin aku mengenali solat, tidak mungkin aku mengenali hidayah dan nikmatnya beribadah kepada Engkau. Segala puji hanya untuk Mu. Suamiku, aku menanti kau pulang dengan hati yang girang. Ingin ku khabarkan segera berita gembira ini. Aku tahu telah sekian lama kau menantikan berita ini terucap dari bibirku. Aku hampir tidak sabar dalam menantimu. Namun,sehingga lewat senja kau masih juga belum pulang.

Hidangan yang telah aku siapkan mula sejuk. Aku menghibur hatiku dengan mengatakan bahawa kau sedang sibuk menyiapkan pelbagai urusan dan kerja. Aku menyibukkan fikiranku dengan membaca al-Qur'an dan wirid ma'thurat. Semoga kau berada dalam perlindungan Allah. Menjelang Isyak baru kau tiba. Dalam kepenatan aku menangkap sebening cahaya dari sepasang matamu yang redup. Bersinar kemilau cahaya namun sukar untuk ditafsirkan. Dengan nada lembut kau memohon maaf kerana terlambat pulang. Ada urusan penting yang menyebabkan kau lambat tiba. Buatku sendiri, melihat dirimu saja sudah cukup menenangkan perasaanku, menghapus penantian yang terasa amat panjang. Apabila melihat kau begitu letih, aku membatalkan niat untuk menyampaikan berita itu. Akan kutunggu hingga hilang penatmu, aku menanti hingga kau segar kembali.

Usai Solat Isyak berjemaah, kau mengajakku untuk berbicara. Ketika itu fahamlah aku bahawa ada sinar bahagia apa yang terpancar di matamu saat kau pulang tadi. Inilah kenangan manis yang sangat penting dalam hidupku. Dapat kurasakan kebahagiaanmu dan akupun bahagia kerananya. Namun, tiba-tiba terasa ada sesuatu yang menyentap jiwaku. Sesungguhnya apa yang kau katakan adalah ikrar dan cita-cita kita sejak lama. Tetapi saat ini aku merasakannya sebagai sesuatu yang teramat berat. Aku memerlukan segunung ketabahan dan kekuatan iman! Perasaan cinta dan sayangku kepadamu tidak dapat digambarkan. Meskipun aku begitu menyedari bahawa cinta pada Allah harus diutamakan dari segalanya. Apa yang ada padaku saat ini bukanlah milikku.

Hanya kurnia Allah yang dapat membuatku merasakan ni'matnya Iman dan Islam di sisimu. Dan kini, mestikah aku menghalang apa yang bukan milikku ketika Sang Pencipta memintanya? Haruskah aku melepaskan kebahagiaan yang baru saja aku rasakan? Haruskah? Jantungku berdegup kencang. Bertarung antara suara hati nuraniku demi melawan emosi dan nafsu. Antara keikhlasan dalam cinta kepada-Nya dan cinta kepada suami dan anakku yang belum lagi lahir. Ya Ilahi, mestikah aku kehilangan saat-saat bahagia yang sedang digenggam dengan merelakan suamiku pergi yang mungkin akan kembali atau tidak? Dan anakku, ia akan menjadi yatim sebelum sempat menatap wajah ayahnya. Lalu, bagaimanakah akan kuhadapi hidup ini tanpa dirinya lagi, tanpa bimbingan dan perlindungannya? Sanggupkah aku? Di kemuncak pergolakan perasaanku, terngiang-ngiang ditelingaku beberapa ayat Nya mematikan gelodak hati yang mula dihasut syaitan.

" Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya "

" Katakanlah : jika bapa-bapamu, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiti kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan jihad di jalan-Nya maka tunggulah sampai Allah mendatangkan hukuman-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq "

Bagaikan tersedar kembali, ianya meruntuhkan gelodak perasaan. Perasaan ingin menghalang akhirnya runtuh sedikit demi sedikit. Ya Allah, aku lebih takutkan murkaMu. Ya Ilahi, kau hilangkan perasaan ini. Redhakan hatiku dengan pemergian suamiku. Jangan kau palingkan rahmatMu dari hidupku agar tidak mendapat kemurkaanMu. Ya Rabbul Izzati, jadikan hatiku redha dan rela!

Aku memohon keredhaanMu. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan-Mu juga. Ada rasa lapang di dada. Aku pasrah. Ada sesuatu perasaan yang muncul ketika malaikat membukakan pintu langit. Saat kau bertanya bagaimana pendapatku; dengan bangganya kukatakan padamu :" Bukankah sejak kita menikah telah kita ikrarkan bahwa perkahwinan ini adalah sebahagian dari perjuangan? Telah kita tetapkan syahid melebihi kehendak yang lain, masih ingatkah engkau? Kini, adakah aku akan menghalangmu untuk menggapai cita-cita kita itu?

Tidak, suamiku. Kurnia Allah yang diberikan kepada kita dalam Iman dan Islam jauh lebih besar dari pengorbanan yang harus kita lakukan saat ini. Benar, kasihku padamu terlalu dalam. Namun itu semua kerana cinta kepada Allah jua. Pergilah, bang. Insya Allah saya akan tabah. Doakan agar saya cekal dan tabah dalam meniti perjalanan hidup ini hingga Allah mempertemukan kita kembali di akhirat kelak."

Selesai kata-kata itu, aku memohon maaf andai selama kita bersama ada sikapku yang kurang kau sukai. Kau hanya menghadiahkan sebuah senyuman yang penuh makna. Sejuk hatiku dengan sikap dan akhlakmu. Kau begitu memuliakanku selama ini padahal aku bukanlah orang yang layak menerima kehormatan seperti itu. Pedih hati ini mengingatkan kelemahanku, namun terubat perasaanku ketika kau mengatakan bahawa kau sangat berharap doa dariku. Malam bergerak perlahan. Bulan tersenyum ketika ku singkap tirai jendela kamar. Aku masih terjaga ketika kau telah terlelap dalam letihmu setelah seharian bekerja.

Bersambung...


Assalamualaikum wbt kepada semua pengunjung. Sekian lama saya membiarkan blog terbiar tanpa input yang bermanfaat. Kali ini, saya cuba untuk memberi sesuatu yang bermanfaat. Biarpun ia sebenarnya bukan ditulis saya sendiri. Namun, saya berasa bertanggungjawab untuk menyebarkannya. Sebentar tadi, saya baru menerima mesej di Facebook. Inilah yang ingin dikongsikan untuk semua pengunjung
. Moga-moga ianya memberi manfaat kepada kita semua.

Nama Salman Al Farisi tidak asing lagi dalam golongan para pejuang dan pembela agama Allah. Ketakwaannya disegani di antara kaum muslimin. Keimanannya yang begitu mendalam bahawa hanya Allah yang Maha Besar, sementara yang lain begitu kecil di hadapannya. Demikian juga sikapnya menghadapi masalah-masalah yang bersifat keduniaan, termasuk urusan cinta.

Dikisahkan, Salman Al Farisi hendak melamar seorang gadis. Sebagai manusia biasa yang memiliki fitrah cinta, ia jatuh hati pada seorang muslimah solehah penduduk asal kota Madinah. Maksud suci ini kemudian disampaikan kepada Abu Darda’, seorang saudara yang dipertemukan atas nama aqidah.

Abu Darda’ dengan senang hati menerima permintaan Salman. Ia bergegas meminta saudaranya ini untuk menemui wali si gadis.

“Perkenalkan saya adalah Abu Darda’, dan ini adalah saudara saya Salman yang berasal dari Parsi. Allah telah memuliakannya dengan Islam dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang mulia disisi Rasulullah SAW, bahkan ia diberi kehormatan sebagai ahlul-baitnya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini untuk melamar puteri anda, "ucap Abu Darda' menyampaikan maksud dan tujuan.

Lamaran itu bersambut, “Kami berasa dihormati kerana menerima tetamu dua sahabat Rasulullah yang mulia. Menjadi kehormatan pula bagi keluarga kami jika dapat memiliki seorang menantu dari salah satu sahabat Rasul yang agung. Akan tetapi, kami serahkan sepenuhnya jawapan kepada lamaran ini pada puteri kami.”

Setelah berbincang, ibu si gadis pilihan Salman itu mewakili untuk menjawab. “Mohon maaf sebelumnya jika apa yang kami sampaikan kurang berkenan. Dengan tetap mengharap redha Allah, puteri kami menolak lamaran Salman,” jawab si ibu.

Belum sempat Salman menjawab jawapan itu, si ibu meneruskan perkataannya. “Akan tetapi, jika Abu Darda’ mempunyai niat yang sama untuk melamar putreri kami, maka kami akan menerimanya,” kata si ibu.

Salman berasa kecewa. Kekecewaan yang amat sangat. Bukan sahaja niat menyunting si gadis ditolak, tetapi saudaranya Abu Darda' yang diminta untuk menyunting si gadis. Hati Salman sedang diuji.

Allahu Akbar!” ujar Salman cuba melupakan gelora hatinya.

”Semua mahar dan nafkah yang kupersiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, dan aku akan menjadi saksi pernikahan kalian,” ucapnya tanpa ragu.

Menakjubkan. Kekecewaan Salman bertukar kepada keikhlasan yang tiada tara. Salman Al Farisi dengan ketakwaannya yang tinggi memberikan pengajaran tentang sebuah kesedaran. Kesedaran bahawa cinta yang diinginkan tidak semestinya akan dimiliki. Kesedaran tentang bagaimana semestinya menyalurkan rasa cinta yang Allah kehendaki untuk kita.

Salman telah memberi pengajaran bahawa sebagai pejuang, kita harus bijak mengawal rasa cinta, bukan menurut kehendaknya. Kita harus mampu mengendalikan nafsu dan perasaan, bukan dikendalikannya. Sungguh indah bila mana cinta dan nafsu itu disertai dengan keimanan yang tiada taranya kepada Allah dan Rasulnya.

Dan semoga kita mendapat yang terbaik, yang dipilih Allah untuk menjadi teman di dunia untuk berjuang dalam agama dan menjadi ketua bidadari bagi seorang lelaki penghuni syurga di akhirat.