Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا

Bersamaan 12 Muharram 1431 yang jatuhnya pada hari Selasa, 29 Disember 2009 saya bersama 4 orang sahabat iaitu Suhaila, Atikah, Wan, dan seorang sahabat muslimin berkesempatan untuk ke Kg Sg Buah yang terletak di Dengkil, Selangor. Tujuan kami ke sana adalah untuk mengajar al-Quran kepada kanak-kanak yang terdiri dari masyarakat Melayu dan juga masyarakat asli. Selepas menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah di masjid, kami memulakan pengajaran al-Quran kepada serta mendengar surah hafalan mereka. Difahamkan bahawa pada hari Khamis satu pertandingan hafazan akan dilakukan untuk mereka. Oleh itu, tujuan kami adalah untuk membantu mereka dalam membaca dan menghafal surah-surah pilihan disamping membantu Ustaz di situ dalam mengajar al-Quran kepada mereka. Setiap seorang mengambil dua orang kanak-kanak untuk di ajar. Mengikut pandangan saya, tahap penguasaan mereka berada di tahap sederhana dan tahap lemah. Tahap sederhana kerana mereka mampu untuk membaca dan menghafal tetapi masih lagi kurang lancar dan fasih. Tahap lemah pula kerana mereka perlu dibimbing dan diulang secara perlahan-perlahan. Walaupun dibaca berulang kali, namun bacaan mereka tetap kurang lancar. Berlainan pula dengan surah yang dapat dihafal, bacaan mereka lancar sedikit berbanding surah yang belum dibaca. Otak saya ligat berfikir kaedah yang terbaik bagi mereka untuk cepat membaca dan menghafal al-Quran. Namun, saya tetap teruskan usaha membimbing mereka sehinggalah ianya dihentikan bagi memberi laluan menunaikan Solat Isyak berjemaah. Kesabaran dan ketekunan diperlukan untuk membimbing mereka di tahap ini.

Mengikut pemerhatian saya, antara punca bacaan mereka kurang lancar ialah komunikasi yang digunakan tidak berkesan. Hal ini kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu sepenuhnya. Oleh itu, arahan yang ingin disampaikan tidak sampai matlamatnya sehinggalah diulang beberapa kali. Hal ini mungkin menjadi punca bacaan mereka kurang lancar. Selain itu, mereka mungkin tidak diajar sebutan huruf Arab dengan betul dan berkesan disamping hukum-hukum tajwid yang perlu dibaiki. Pada pendapat saya, perkara ini perlu diajar kepada mereka terlebih dahulu sebelum memulakan bacaan al-Quran. Namun begitu, mungkin juga keadaan persekitan masyarakat asli yang membuatkan mereka sukar untuk menyebut dengan betul. Harapan saya, moga selepas ini segalanya akan dapat diperbaiki dan menyebut ayat al-Quran dengan lancar serta fasih. Latihan yang berterusan dapat memahirkan mereka dalam menyebut al-Quran dan mengikut hukum tajwid dengan betul.

Antara perkara yang menarik perhatian ialah seorang kanak-kanak lelaki menjadi seperti Imam besar ketika Solat Isyak berjemaah. Bacaannya kuat seperti Imam dan masih sempat lagi bergurau senda di antara mereka kerana saya tahu mereka masih lagi tidak faham tentang perkara yang tidak boleh dilakukan ketika solat.

Walauapapun, tersemat juga perasaan bangga dan kagum tatkala melihat mereka tetap berusaha untuk membaca dan menghafal al-Quran biarpun masih dalam keadaan bertatih. Moga-moga dengan usaha yang berterusan mereka berjaya dalam memelihara al-Quran. Terselit juga perasaan malu di hati tatkala melihat kesungguhan mereka dalam mempelajari al-Quran dibandingkan dengan masyarakat Melayu kita yang dilahirkan sebagai Islam dan dibesarkan dalam keluarga Islam tetapi tidak didedahkan dengan al-Quran. Malahan, ada juga yang tidak pandai langsung dalam membaca al-Quran kerana kurangnya didikan dan perhatian dari ibu bapa. Sedarlah wahai saudara Melayu se Islam ku, jika kita tidak mengambil perhatian tentang Islam terutamanya dalam memakmurkan al-Quran, kita sebenarnya lebih teruk dari mereka yang masih dalam keadaan bertatih tetapi sanggup berusaha untuk membaca dan mempelajari al-Quran. Malulah kita dengan mereka wahai saudara Melayu se Islam ku. Ambillah pengajaran dari mereka yang begitu suci niatnya untuk mendalami Islam.

0 comments:

Post a Comment