Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا

Keesokan harinya, seawal pukul 5 pagi lagi kami dikejutkan dengan salakan anjing yang berkeliaran. Bunyi anjing yang menyalak terasa seolah-olah begitu hampir dengan kami. Apabila kami membuka pintu, anjing tersebut sebenarnya tidak jauh dari kedudukan kami. Dengan keadaan yang gelap berbekalkan cahaya lampu suluh, kami cuba menghalau anjing tersebut untuk ke bilik air. Sehinggalah hari-hari seterusnya, bunyi salakan anjing mengejutkan kami pada setiap pagi. Hari itu, program seterusnya adalah aktiviti riadah bersama penduduk kampung. Memandangkan hujan lebat yang turun, maka aktiviti tersebut tidak dapat dijalankan. Mengikut kepercayaan masyarakat orang asli, mereka tidak boleh keluar rumah ketika hujan. Jika diingkari, akibatnya bala pasti akan diterima. Hasilnya, tidak ada seorang pun yang keluar dari rumah pada hari itu. Sehinggalah ketika hujan reda, kelihatan sedikit demi sedikit masyarakat asli keluar untuk menjalankan aktiviti mereka. Program seterusnya adalah ceramah motivasi kepada kanak-kanak. Walaubagaimanapun, aktiviti ini terpaksa dibatalkan kerana tidak sesuai untuk dijalankan. Mengikut pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, mereka tidak sesuai untuk mendengar ceramah motivasi kerana pemikiran dan pemahaman mereka masih di tahap rendah. Mereka mampu untuk memahami bahasa Melayu yang mudah tetapi tidak untuk bahasa yang agak tinggi. Atas sebab itulah, aktiviti ini dibatalkan.

Menjelang selepas Zohor, aktiviti sererusnya adalah operasi ziarah ke beberapa rumah. Setiap orang dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 7 orang. Kumpulan saya diketuai Ustaz Hakim dan ahli yang lain iaitu Mulia, Aiman, Liyana, Azila, dan Zubaidah. Setiap kumpulan hanya diberi masa lebih kurang sejam setengah dan hanya melawat dua buah rumah sahaja. Kumpulan saya melawat rumah Tok Batin dan sebuah rumah yang berdekatan dengannya. Hasil lawatan ziarah tersebut, banyak perkara yang dibincangkan bersama. Sepertimana yang diketahui, Tok Batin menjadikan topik ‘1 Malaysia’ sebagai satu wadah perbincangan. Beliau sangat menyokong gagasan 1 Malaysia kerana dapat menyatukan perpaduan untuk semua kaum. Menurutnya lagi, beliau tidak menghalang sesiapapun untuk menjalani gaya hidup seorang Islam ataupun untuk menyebarkan Islam tetapi tidak untuk menerima Islam. Mentaliti masyarakat asli menyatakan jika mereka memeluk Islam, bermakna mereka sudah kehilangan jati diri sebagai orang asli dan meninggalkan adat resam mereka. Memeluk Islam bererti mereka memeluk agama Melayu. Sedangkan hakikat sebenarnya Islam tidak menghalang mana-mana kaum untuk melakukan adat resam mereka selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Dan agama Islam bukanlah bermakna agama orang Melayu tetapi Islam adalah untuk semua kaum dan bangsa di muka bumi ini. Kami memberi sedikit pendedahan tentang Islam tetapi masih tidak berjaya menarik mereka untuk memeluk Islam.

Selain itu, Tok Batin turut menegaskan bahawa pendidikan sangat penting dalam kehidupan mereka. Beliau menggesa agar semua ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Jika mereka tidak menuntut ilmu, siapa lagi yang akan mengubah kehidupan mereka. Malah, beliau meminta agar semua ibu bapa sama-sama mendirikan sebuah tempat khas untuk mereka yang ke sekolah. Hal ini kerana, perjalannan ke sekolah mengambil masa selama dua jam. Mereka tidak mempunyai pilihan lain kerana itulah satu-satunya jalan yang terdekat. Disebabkan perjalanan yang begitu lama, ramai anak-anak yang tidak sanggup untuk ke sekolah. Mereka hanya mampu bersekolah untuk beberapa tahun tetapi tidak untuk meneruskan persekolahan hingga tamat. Masakan tidak, untuk ke sekolah setiap pagi mereka terpaksa bangun awal dan bergerak ke sana awal pagi. Jika adapun yang bersekolah, hal itu kerana mereka tinggal di asrama sekolah masing-masing. Bagi yang tidak bersekolah, maka tiadalah pendidikan yang diajar kepada mereka. Jika kita sendiri pun, saya rasa kita mungkin tidak sanggup melakukannya seperti mereka. Disebabkan itulah, Tok Batin meminta agar semua ibu bapa sama-sama mendirikan tempat khas untuk memudahkan perjalanan anak mereka ke sekolah. Namun begitu, sehingga sekarang ianya tidak dapat dijalankan kerana masih tidak diluluskan oleh kerajaan. Begitu juga dengan perkhidmatan bas, walaupun telah banyak kali dibuat permohonan, ianya tetap tidak diluluskan. Alasannya, bas tidak boleh masuk ke kampung tersebut kerana jalannya yang curam dan bahaya. Kami hanya mampu terdiam apabila Tok Batin mengucapkan kata-kata tersebut. Pada fikiran kami, kalau beginilah sikap kerajaan, sampai bila-bila pun keadaan dan nasib masyarakat asli pasti tidak akan berubah. Lain pula halnya dengan pilihan raya. Apabila pilihan raya semakin hampir, maka berduyun-duyunlah wakil rakyat turun mendekati masyarakat asli untuk memancing undi mereka. Apabila kemenangan dicapai, tiada siapa yang sudi turun dan menjenguk keadaan masyarakat asli. Sungguh menyedihkan. Begitulah sikap manusia yang hanya pentingkan diri demi mengejar pangkat dan kedudukan tetapi orang di sekelilingnya terabai.

Di samping itu, Tok Batin turut menceritakan bahawa perjalanan ke kampung itu sekarang lebih cepat berbanding waktu dulu. Menurutnya, pada waktu dulu perjalanan keluar dari kampung ke tempat lain memakan masa lebih kurang dua jam. Mereka terpaksa merentas sungai kerana itulah satu-satunya jalan keluar ke tempat lain. Tetapi, berlainan pula dengan sekarang, perjalanan kini lebih cepat dan dekat dengan terbinanya jalan yang menuju ke jalan raya besar. Cuma, jalan tersebut agak curam dan bahaya. Hanya beberapa kenderaan yang melalui jalan itu. Selebihnya, mereka lebih selesa berjalan kaki. Seterusnya, mereka turut menceritakan bahawa punca pencarian penduduk kampung tersebut adalah memungut hasil hutan. Hasil hutan yang diperoleh dijual di pekan dan hasil jualan itulah yang menjadi punca pendapatan sekeluarga.

Menjelang petang, aktiviti seterusnya adalah aktiviti sukaneka yang melibatkan kanak-kanak. Mereka memberikan kerjasama yang sangat baik kepada kami. Ramai di antara mereka yang menyertai aktiviti yang telah disediakan. Kelihatan sungguh gembira dan seronok tergambar di wajah mereka. Namun begitu, terdapat juga beberapa kanak-kanak yang hanya mampu melihat dari jauh. Mereka tidak menyertai aktiviti yang diadakan melainkan hanya menjadi pemerhati setia. Hal ini mungkin kerana mereka masih malu-malu dengan kami. Lantaran itu, mereka lebih suka memerhati dan mendiamkan diri. Malam itu, kami membuat tayangan perdana filem P.Ramlee. Masyarakat orang asli ramai yang turun untuk menonton tayangan tersebut. Mereka sanggup bersengkang mata untuk menghabiskan tayangan tersebut. Sambutan yang diberi mereka sangat menggalakkan. Inilah salah satu uslub untuk berdakwah kepada mereka. Melalui tanyangan filem yang berunsurkan Islam.

Hari ketiga hujan turun renyai-renyai di pagi itu. Selepas bersarapan pagi, kami sepatutnya memulakan aktiviti kembara alam di hutan yang terdapat di situ. Disebabkan cuaca hujan, aktiviti tersebut ditangguhkan. Namun begitu, kembara alam diteruskan juga walaupun dalam keadaan cuaca yang kurang baik. Perjalanan diketuai oleh dua orang wakil dari masyarakat orang asli. Kami memulakan perjalanan mendaki bukit dan sampai di jalan besar. Termengah-mengah saya kerana sudah lama tidak bersenam. Rasa penat dan letih mula muncul tatkala itu. Namun, saya kuatkan semangat. Saya tetap ingin meneruskan perjalanan ke penghujungnya. Sampai di jalan besar, kami melintas ke seberang jalan dan mendaki bukit seterusnya sehinggalah sampai di sebuah tempat. Bermula dari situ, kami mendaki bukit lagi dan mula meredah hutan yang juga perlu didaki. Berbekalkan sebotol air bersama semangat dalam diri saya meneruskan perjalanan walaupun rasa cemas dan bimbang sentiasa menguasai. Cemas dan bimbang kerana takut tergelincir ke dalam gaung. Bukit yang kami daki sangat berdekatan dengan gaung. Setiap orang sangat berisiko untuk jatuh ke dalam gaung. Ditambah pula dengan keadaan tanah yang licin akibat hujan. Banyak kali saya jatuh tersungkur tatkala mendaki. Saya bergelumang dengan kekotoran. Baju dan seluar sudah sebati dengan tanah. Saya tidak pedulikan dengan keadaan tersebut. Matlamat sampai ke puncak mesti diteruskan. Jamilah banyak membantu saya untuk meneruskan perjalanan itu. Disebabkan perasaan cemas menguasai diri, saya kerap kali berpaut pada buluh di situ. Hutan tersebut dipenuhi dengan banyak pokok buluh. Sehinggalah Jamilah menegur saya kerana bimbang tangan saya akan luka. Saya menerima tegurannya, kerana saya tahu dia sayangkan saya. Untuk memudahkan saya berpaut, sahabat yang lain memberi saya dahan kayu yang berbentuk seperti tongkat. Terima kasih diucapkan buat mereka. Begitu juga dengan yang lain, ramai sahabat muslimat yang membantu saya. Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada yang membantu. Saya banyak menggunakan pertolongan mereka. Terasa betapa indahnya ukhuwah di antara kami. Ukhuwah yang menemukan dan memisahkan kami kerana Allah SWT. Terselit juga perasaan malu apabila sahabat muslimin turut membantu memudahkan perjalanan saya. Walau apapun, terima kasih juga diucapkan buat mereka semua. Saya tahu niat mereka ikhlas kerana Allah. Berkat kesabaran dan ketabahan, kami akhirnya berjaya sampai di puncak dan berjaya turun dengan selamatnya. Namun begitu, saya mengalami sedikit kelukaan kerana terjatuh. Mungkin kerana penat, saya tidak dapat mengimbangi diri lantas membuatkan saya terjatuh. Namun begitu, saya bersyukur kerana hanya sedikit luka yang dialami. Moga-moga ianya sebagai penebus dosa yang telah dilakukan. Terdapat juga seorang sahabat muslimat yang mengalami kesukaran untuk pendakian kerana kasut yang sudah lekang tapaknya. Namun begitu, sahabat tadi berjaya merentasi segala cabaran dan dugaan. Inilah sebuah pengalaman yang bernilai buat saya. Sebelum ini, saya tidak berpeluang mengikuti kembara ke hutan dan ini merupakan pengalaman pertama saya. Saya berasa beruntung kerana dapat mengikuti kembara ini. Terasa ingin lagi saya mengikuti kembara seperti ini.

Pengajaran dari kembara ini ialah perjalanan mesti diteruskan hingga berjaya walaupun dipenuhi dengan dugaan dan cabaran. Dalam kehidupan ini, tidak semua yang suka dengan kebaikan yang dilakukan. Walaupun kita diancam, perjuangan menegakkan keadilan mesti diteruskan. Biarkan apa sahaja yang orang perkatakan kerana itu bukanlah perkara yang utama tetapi yang utamanya adalah keredhaan Allah SWT. Keredhaan Allah SWT yang perlu diambil kira dan bukannya tohmahan yang dilemparkan manusia. Selain itu, kita adalah mukmin yang bersaudara. Setiap mukmin itu bertanggungjawab membantu mukmin yang lain apabila memerlukan. Apabila kita bersatu, Umat Islam akan menjadi kuat. Musuh Islam tidak akan berani untuk menyerang kita. Jika Umat Islam berpecah-belah, maka dengan mudahlah Umat Islam dikuasai. Oleh itu, sedarilah bahawa kita bersaudara. Dengan bersatu, pastinya Umat Islam akan menjadi gemilang. Di samping itu, kuatkan pergantungan kepada Allah SWT. Kuatkan tekad dan semangat diri. Yakin dan tawakal kepada-Nya. Jika diikutkan keadaan, pastinya hampir sahaja diri ini rebah. Dan mungkin sahaja boleh terjatuh ke dalam gaung. Tetapi, atas semangat yang kuat, segala cabaran dapat diharungi dengan mudah. Pertolongan Allah SWT yang menjadikan setiap sesuatu dapat dicapai akhirnya.

Namun begitu, sesuatu yang menggemparkan telah berlaku. Seorang sahabat muslimin mengalami kecederaan yang parah akibat terkena buluh. Teringat saya pada larangan Jamilah sebentar tadi, jika saya tetap berpaut pada buluh, mungkinkah saya juga turut mengalami kecederaan tersebut? Akibat dari kelukaan yang dialami, sahabat tadi dihantar ke hospital dan menerima beberapa jahitan. Luka yang dialaminya begitu besar. Mujurlah sahabat tadi seorang muslimin. Sekurang-kurangnya beliau mampu untuk bertahan walaupun kesakitan yang dialaminya sangat teruk. Seandainya sahabat itu seorang muslimat, mungkin ianya sudah meraung. Jika saya sendiripun, mungkin juga saya seperti itu. Alhamdulillah, sahabat tadi berjaya dirawat dan dibawa pulang semula. Terdengar kata-kata dari masyarakat di situ, bala yang kami terima tadi adalah akibat kerana keluar ke hutan ketika hujan. Menurut kepercayaan mereka, cuaca hujan tidak membenarkan mereka keluar rumah apatah lagi ke hutan. Jika tidak, bala pasti akan diterima. Sedangkan hakikatnya, kita tidak boleh mempercayai berlakunya sesuatu akibat melanggar larangan yang tidak tahu kebenarannya. Ianya sudah tercatat di Luh Mahfuz. Mungkin juga peristiwa tersebut kebetulan berlaku, maka dengan mudahnya mereka membuat tafsiran dan kesimpulan. Namun begitu, tersemat perasaan bangga kerana kami berjaya juga dalam kembara alam ini walaupun dengan cuaca hujan serta tanah yang licin.

Menjelang selepas zohor, aktiviti seterusnya adalah operasi ziarah bersama buah tangan untuk diberikan kepada dua keluarga. Kali ini, kami ke rumah yang berdekatan dengan rumah yang diziarahi semalam. Tujuannya agar kami dapat bertemu dengan keluarga yang lain pula. Bersama kumpulan yang sama, kami memulakan operasi ziarah. Kami menziarahi rumah pertama sebentar dan berbual seketika. Memandangkan rumah tersebut didiami oleh keluarga yang besar, kami memberi beberapa buah tangan kepada mereka. Seterusnya, kami ke rumah yang kedua pula. Kali ini, ziarah kami agak lama sedikit berbanding yang yang tadi. Kami hanya berbual dengan keluarga tersebut dan memberikan buah tangan. Sebaik sahaja keluar dari rumah itu, seorang sahabat muslimin memberitahu kami bahawa di rumah tadi mereka membela anjing dan anjing tersebut tinggal di dalam rumah. Anjing tersebut tinggal di sebuah ruang khas untuknya. Memang kami tidak terduga dan tidak tahu. Jika tidak, pastinya kami tidak akan naik ke rumah itu. Walau apa pun, perkara ini sudah terjadi. Tidak guna untuk disesali. Namun, yang membimbangkan adalah kaum muslimat dalam keadaan stokin yang basah. Hujan yang turun di kampung itu membuatkan tanah di dapur digenangi air lumpur. Setiap kali makan di dapur, mahu tidak mahu kami terpaksa membuang lumpur yang melekat di kasut dan mengakibatkan stokin basah. Jika tidak, bagaimana kami ingin bersuci dan solat? Oleh sebab itu, stokin sentiasa dalam keadaan basah. Sekiranya kami dalam keadaan kering, tiada masalah yang timbul kerana anjing itu dalam keadaan kering. Berbeza pula dengan kaum muslimin, mereka dalam keadaan kering. Maka tidak perlu untuk membuat samak. Dalam keadaan yang kurang pasti kami akhirnya menyamak. Inilah pengalaman pertama dalam seumur hidup. Mujurlah tanah dalam keadaan lumpur, mudahlah kami untuk melakukan samak. Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya juga menyamak. Sehingga kini, pengalaman ini tersemat di jiwa saya. Perkara ini tidak mungkin akan dilupakan. Walauapapun, pastinya terselit hikmah yang tersembunyi. Sekurang-kurangnya, kami tahu juga cara untuk menyamak dan bila perlunya untuk menyamak.

Menjelang petang, aktiviti sukaneka bermula. Aktiviti ini melibatkan semua golongan iaitu kanak-kanak, remaja, serta kaum ibu dan bapa. Antara aktivitinya ialah pertandingan sumpitan, mengupas bawang, cari gula dalam tepung, dan perlawanan sepak takraw antara remaja masyarakat asli dan mahasiswa UKM. Sambutan yang diberi menggalakkan dan semua masyarakat asli melibatkan diri dalam pertandingan yang dianjurkan.

Malam itu adalah malam kesenian dan kebudayaan. Pada malam itu, mahasiswa UKM dan masyarakat asli menunjukkan persembahan masing-masing. Persembahan dimulai oleh mahasiswa UKM yang mempersembahkan lakonan pentomen bertajuk ‘Aku Anak Orang Asli’ dan persembahan nasyid yang menyampaikan tiga buah lagu. Persembahan mereka cukup mantap dan berkesan kerana mesej yang disampaikan amat bertepatan untuk masyarakat orang asli. Namun, kerana bahasa yang digunakan agak tinggi, mereka hanya mampu memahami sedikit sahaja dari apa yang disampaikan. Walauapapun, biarlah mereka sendiri yang berfikir dan menilai tentang Islam. Persembahan seterusnya adalah Tarian Sewang dari masyarakat orang asli. Tarian Sewang dipersembahkan untuk majlis perkahwinan dan kematian. Tarian ini mempunyai tiga siri. Tarian Sewang ini memuja syaitan dan ianya mampu menarik ramai masyarakat asli menari termasuklah kanak-kanak. Malah, jika dibiarkan mereka mungkin mampu untuk menari sehingga pagi dan membuatkan mereka tidak sedar. Bait-bait lagunya pula dinyanyikan dalam bahasa mereka yang membuatkan ada sesuatu di sebalik apa yang dinyanyikan. Tetapi, mereka tidak boleh memberitahu apa yang dinyanyikan di sebalik lagu tersebut. Saya pasti ianya berbentuk nasihat kerana bait-baitnya seolah-olah sebegitu. Mujurlah persembahan mereka hanya sebentar. Bimbang juga mereka menari sehingga pagi kerana penat dan letih pagi tadi masih belum hilang. Tambahan pula, esok kami akan berangkat pulang ke UKM.

Aktiviti hari terakhir kami di sini adalah majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah. Penasihat Persatuan ISIUKM iaitu Dr Ghafar Don memberikan ucapan diikuti Penggerak Masyarakat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan seterusnya oleh Tok Batin Kg Cheros. Seterusnya majlis penyampaian hadiah kepada masyarakat asli dan mahasiswa UKM yang berjaya dalam pertandingan yang dianjurkan. Selesai majlis tersebut, kami mula mengemas barang-barang untuk berangkat pulang. Kami bersalaman-salaman dengan masyarakat asli sambil mengucapkan selamat tinggal. Ada juga di antara mereka yang mengiringi dan mengangkat beg kami hingga sampai ke bas. Malah, ada juga antara mereka yang menitiskan air mata tatkala menghantar kami pulang. Doa kami agar mereka dan kita semua selalu beroleh hidayah dan petunjuk dariNya. Moga-moga mereka diberi petunjuk untuk mendekati Islam dan kita semua sentiasa dikurniakan nikmat yang terbesar iaitu Islam dan Iman. Harapan saya supaya kami dapat mengikuti perkembangan masyarakat asli disamping usaha dakwah yang berterusan. Moga-moga ada di antara mereka yang terbuka hati memeluk Islam.

P/: Satu-satunya perkataan masyarakat asli yang saya ingat sampai sekarang ialah ‘tenet’ yang bermaksud kakak.

0 comments:

Post a Comment