Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Assalamualaikum buat semua pengunjung. Sekian lama blog ini ditinggalkan tanpa input yang bermanfaat. Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan untuk meneruskan kembali penceritaan saya. Kali ini, saya akan meneruskan penceritaan mengenai pengalaman saya menyertai Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) ISIUKM 09.

Biarpun pelbagai dugaan dan cabaran datang menjengah diri saya, Alhamdulillah segalanya dapat dihadapi dengan baik. Saat keinginan untuk menyertai OPKIM ISIUKM, hati saya berbolak-balik dengan pelbagai perasaan. Malu, sedih, gembira, dan bimbang bercampur-baur. Saya cuba mengajak sahabat karib yang lain untuk turut menyertai bersama. Namun, saya tidak mampu untuk memaksa mereka. Saya cuba pula untuk mengajak sahabat lain. Alhamdulillah, mereka sebenarnya sudah lama mendaftarkan diri untuk menyertai program tersebut. Saat itu, hati saya menjadi lega. Sekurang-kurangnya, masih ada sahabat yang dikenali pergi bersama. Tidaklah nanti saya berasa kekok. Lantas, saya membuat keputusan. Saya akhirnya mendaftarkan diri. Ketika semangat berkobar-kobar untuk pergi, seorang sahabat tiba-tiba menarik diri. Dia tidak dapat menyertai kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan. Saat itu, saya cuba kuatkan semangat. Saya tidak boleh untuk menarik diri. Misi dakwah mesti diteruskan. Muncul pula dugaan yang lain, saya tertinggal jaket kesayangan untuk dibawa ke OPKIM di dalam bas untuk kembali ke UKM. Patutlah hati berbisik untuk menoleh kembali ke belakang. Tetapi, saya hiraukan saja kerana saya sudah tidak sabar untuk turun disebabkan perjalanan yang memakan masa hampir 6 jam. Sudah terlambat ketika saya tersedar kerana bas sudah lama menuju ke destinasi lain. Saat itu, begitu murahnya air mata menghujani pipi saya. Perasaan sedih dan pilu meledak di dalam diri. Saya begitu sayangkan jaket tersebut. Jaket itu ditempah dibawah nama jabatan saya. Semangat saya semakin pudar. Saya rasa tidak bersemangat untuk menyertai OPKIM. Ya Allah, Kau ampunkanlah dosa hambaMu ini. Kerana aku tahu, semuanya pasti tersirat sejuta makna dan hikmah. Moga-moga ianya sebagai penebus segala dosa dan kejahatan yang telah dilakukan. Kini, saya mengharapkan keajaiban berlaku. Moga-moga sesiapa yang terjumpa jaket saya dapat memulangkan kembali. Setibanya di UKM, saya menginap di Kolej Keris Mas sebelum memulakan perjalanan ke Kampung Cheros pada keesokan harinya. Memandangkan saya lewat tiba, saya menumpang bilik bersama Naima dan Rafidah, dua orang adik sefikrah yang disayangi. Saya menjadi seorang yang pendiam. Hati masih lagi sedih dan pilu dengan kejadian yang berlaku. Namun, sifat mereka yang peramah ditambah pula sifat sahabat lain yang sama sedikit sebanyak dapat mengubat hati saya yang masih dalam kedukaan. Semangat saya kembali pulih. Akhirnya, saya berjaya juga untuk meneruskan misi dakwah ke Kg Cheros, Cameron Highlands.


Alhamdulillah, pada 20 hingga 23 November 2009, program OPKIM ISIUKM 2009 di Kg Cheros, Cameron Highlands telah berjaya dilaksanakan. Rombongan berjumlah sekitar 62 orang yang terdiri daripada ajk program, exco-exco ISIUKM, dan peserta program. Misi kami adalah untuk menyampaikan dakwah disamping melakukan program kebajikan untuk masyarakat Orang Asli. Walaupun terdapat beberapa program yang terpaksa dibatalkan disamping cuaca yang sering hujan tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Mereka memberi kerjasama terhadap pelbagai program yang telah disusun terutamanya golongan kanak-kanak. Hal ini mungkin disebabkan banyak program disusun khusus untuk mereka.

Perjalanan ke Kg Cheros memakan masa hampir 6 jam. Terasa sungguh begitu lama perjalanan kami. Mungkin juga hati saya tidak sabar-sabar untuk sampai di sana. Setibanya di Kg Cheros, bas terpaksa berhenti di tepi jalan. Kami perlu berjalan lebih kurang 1 km untuk sampai di sana. Segala beg dan barang kelengkapan pula diangkut trak. Mujurlah jalan bersimen dan menuruni bukit. Namun, saya tetap bersyukur. Sekurang-kurangnya, jalan ini memudahkan perjalanan kami ke sana. Hari pertama disana kami disambut oleh Tok Batin Kg Cheros dan diberi sedikit taklimat olehnya. Apa yang menarik perhatian saya ialah ucapannya dimulai dengan ‘Salam 1 Malaysia’. Betapa beliau menyambut baik gagasan 1 Malaysia oleh Perdana Menteri Malaysia sekarang. Menurutnya lagi, beliau sangat menyokong perpaduan seluruh kaum di Malaysia. Oleh sebab itu beliau memandang bahawa perpaduan masyarakat yang menyatukan semua kaum dan bukannya agama yang menyatukan kaum sedangkan Islam yang sebenarnya menyatukan seluruh kaum. Sepertimana dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Hari pertama tidak banyak aktiviti yang dijalankan. Kami sibuk menguruskan penginapan dan segala kelengkapan untuk memasak. Kaum Muslimin menginap di khemah yang disediakan manakala muslimat pula menginap di rumah pemberian kerajaan kepada Tok Batin dan sebuah rumah papan. Kaum Muslimin terasa lebih ‘adventure’ kerana tidur di khemah yang banjir. Disebabkan cuaca yang sering hujan, maka sesetengah tanah yang rendah mudah digenangi air. Kampung tersebut tidak mendapat bekalan elektrik. Jika ada pun, mereka menggunakan tenaga solar. Namun, ianya tidak mampu bertahan lama. Paling lama pun hanya sejam. Selebihnya, mereka menyalakan unggun api untuk menghidupkan suasana disamping untuk menghilangkan kesejukan. Di kampung itu, banyak anjing dilihat berkeliaran seperti kucing. Pada mulanya, rasa takut dan bimbang menghantui diri kami. Maklumlah, takut terkena anjing. Takut juga jika anjing tersebut mengejar kami. Tetapi, lama-kelamaan ianya menjadi seperti biasa. Cuma, jangan lari jika ternampak anjing. Jika tidak, anjing tersebut akan mengejar kita.

Malam itu, kami membuat tayangan perdana iaitu ‘Pengembaraan Upin dan Ipin’. Kami mendapat Sambutan yang menggalakkan. Ramai masyarakat Orang Asli yang turun menonton tayangan tersebut terutamanya kalangan kanak-kanak. Mereka kelihatan gembira dan seronok menonton tayangan tersebut. Harapan kami, tayangan filem ini dapat memperlihatkan gaya dan cara hidup Islam kepada mereka. Biar mereka tahu tentang syariat Islam yang tersusun dan sistematik. Dapat menunjukkan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang syumul. Ianya merupakan salah satu uslub dakwah kepada mereka. Moga-moga ada di antara mereka yang terbuka hati untuk menerima Islam.

P/S: Sambungan akan diceritakan pada post akan datang.