Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Tengah hari tadi, saya mendapat mesej dari adik sefikrah, Salwa mengajak saya untuk menziarahi perkampungan Orang Asli yang terletak di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya lantas menerima ajakannya. Tambahan pula, dapat mengisi masa yang terluang yang mula dilanda kebosanan. Bersama Salwa dan seorang sahabat lagi, Suhaila yang ditemani adiknya, kami menuju ke Kg Sungai Buah selepas Solat Jumaat. Perjalanan hanya mengambil masa yang singkat kerana tempatnya tidaklah terlalu jauh.

Ketibaan kami disambut dengan gembira. Kami menuju ke rumah kakak angkat Su yang terletak di kampung tersebut. Perbualan kami banyak membincangkan tentang usaha dan program dakwah yang telah dijalankan di situ. Kampung itu sebenarnya terdapat beberapa orang Melayu Jawa dan selebihnya adalah Orang Asli. Ustaz Afif yang merupakan orang Melayu Jawa menjadi tenaga pengajar di situ. Jika beliau berkelapangan, beliau akan menjadi Imam untuk solat jemaah Maghrib dan Isyak. Pengajian al-Quran turut diajarkan di situ. Maka, ramai yang datang untuk mengimarahkan surau. Sebaliknya, jika beliau tiada, surau akan menjadi sunyi. Masing-masing lebih senang untuk solat di rumah. Begitu juga dengan pengajian al-Quran, ianya akan menjadi senyap seketika. Sambutan perayaan Hari Raya Korban pula hanyalah seperti biasa. Berbeza pula dengan Hari Raya Eidulfitri, sambutan lebih meriah sedikit. Namun begitu, sesuatu yang cukup membanggakan adalah sebanyak 70% masyarakat di sini sudah memeluk Islam. Hanya tinggal 30% yang masih tidak mempunyai pegangan agama yang tetap.

Sesuatu yang baru diketahui ialah kakak angkat Su sebenarnya dilahirkan sebagai seorang Islam sejak dilahirkan lagi. Suaminya merupakan penduduk asal di situ. Beliau memeluk Islam sebelum berkahwin dengan kakak angkat Su. Suaminya merupakan satu-satunya yang memeluk Islam dalam keluarganya selain dari ibunya yang telah meninggal dunia. Ibunya memeluk Islam semasa nazak dan sempat mengucapkan syahadah di pangkuan kakak angkat Su. Hati saya sedikit terkesan. Ibunya dilahirkan semula bagaikan bayi suci yang tiada dosa. Alhamdulillah, Allah memberikan hidayahNya kepada yang dikehendakiNya. Perjalanannya menuju akhirat menjadi mudah. Terfikir saya sejenak, bagaimana pula dengan kita yang secara semulajadinya dilahirkan Islam. Dipenuhi dengan dosa dan pahala yang tidak tahu mana beratnya. Bagaimana pula dengan perjalanan di akhirat nanti? Ya Allah, permudahkanlah jalanku ini. Berikanlah kesempatanku untuk bertaubat. Terimalah taubat hambaMu ini. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ku ini.

Sempat saya meneliti cara kehidupan mereka. Walaupun hidup dikelilingi dengan hutan tebal, namun kehidupan mereka kini sudah maju. Dibekali dengan pelbagai kemudahan asas seperti elektrik dan air malah anak-anak mereka juga sudah bersekolah. Bahkan, ada juga yang melanggan ASTRO walaupun rumah hanyalah kecil. Pendek kata, kehidupan mereka sudah maju seperti mana dengan masyarakat yang lain. Sesuatu yang boleh dibanggakan bagi mereka yang kini boleh menerima kemajuan dan peningkatan taraf hidup.

Kakak angkat Su menceritakan hidupnya sejak mula-mula berkahwin dengan suaminya. Masyarakat orang asli menggunakan kayu api untuk memasak. Sesuatu yang sukar untuknya menggunakan kayu api seperti mereka. Malah, jika saya sendiri yang mengalaminya, tentunya sukar bagi saya dan orang lain yang tidak pernah menggunakannya. Namun, beliau tetap berusaha untuk belajar. Ibu mertuanya akhirnya mengajarkan kepadanya. Sesuatu yang cukup dikagumi saya. Kakak angkat Su berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan masyarakat di situ. Malah, beliau sanggup belajar untuk perkara yang tidak diketahuinya.

Setelah berbual dengan mereka, saya membuat kesimpulan bahawa masyarakat orang asli amat memerlukan pembimbing untuk mengajar agama. Mereka dahagakan bimbingan ke arah mempelajari dan mendalami ilmu agama. Mereka memerlukan ilmu akhirat. Jika berkesempatan lagi, saya teringin untuk menziarahi mereka kembali. Mengajarkan ilmu agama, membimbing dari kejahilan, dan membawa mereka ke arah kebenaran. Saya tahu, jalannya bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Dakwah yang digunakan mestilah dakwah yang berhikmah. Dakwah kepada mereka mempunyai banyak cabaran dan dugaan. Itulah yang dinamakan seorang pendakwah. Namun, jika bukan kita yang membimbingnya, siapa lagi yang dapat diharapkan? Kitalah yang sepatutnya tampil membantu mereka. Doakan agar misi dakwah saya dan sahabat saya berjaya!

P/S:Maaf kerana tiada gambar untuk dipaparkan untuk tatapan umum. Harapan saya, cukuplah pengalaman ini yang menceritakan dan menggambarkan kepada sahabat semua.

Nantikan pengalaman saya ke Program OPKIM ISIUKM 09 Kampung Cheros, Cameron Highlands. Sebuah perkampungan orang asli. Nantikan penceritaannya pada post akan datang.

1 comments:

Salam ziarah dari Pak Karamu

Post a Comment