Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا

Terkenang kembali pada sebuah memori silam.
Masih segar dalam ingatan saya, kata-kata dari seorang sahabat.

'Kau ni macam pelajar jabatan dakwah pula, sibuk dengan blog'.

Teringat pula pada kata-kata dari seorang sahabat yang lain.

'Kalau buat blog, lepas ni kena selalu 'update'lah'.

Tersenyum saya tatkala mereka mengeluarkan kata-kata begitu. Sebetulnya, sudah lama tersimpan sebuah hasrat di hati saya untuk mewujudkan sebuah laman blog peribadi sendiri. Namun, dek kerana takut hasil yang diberikan tidak memuaskan, saya hanya mampu menyimpan hasrat di hati. Saya hanya mampu untuk menjadi pelawat blog sahabat lain, memberikan komen dan pandangan pada artikel yang dikeluarkan, dan menilai setiap pandangan yang diberikan mereka. Mengutip segala yang bernilai dan bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup. Walaupun begitu, semangat saya semakin berkobar-kobar tatkala melihat sahabat sebilik, Fatimah bertungkus-lumus untuk menyiapkan tugasan blog. Semua pelajar tahun tiga jabatan pengajian dakwah dan kepimpinan wajib menghasilkan blog untuk subjek Teknologi Maklumat Dakwah. Termasuklah sahabat sebilik saya ini. Tatkala itu, hasrat ingin menghasilkan blog hampir tercapai. Saya berpandangan, kesempatan ini perlu digunakan dengan sebaiknya. Fatimah boleh membantu saya. Kami akhirnya saling bantu-membantu demi merealisasikan hasrat ini. Maka, terciptalah sebuah blog peribadi sendiri. Tersenyum bangga tatkala melihat hasil sendiri. Malah, saya rasakan kini saya hampir menyamai sahabat lain yang telah lama menghasilkan blog peribadi sendiri.

Terciptalah sebuah tema blog yang diberi nama 'Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman'. Mengapa tema ini yang dipilih? Jawapan saya, seorang hamba dilahirkan untuk beribadat kepada-Nya. Kehidupan yang dilalui adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Untuk mencapai ketakwaan, mencari ketenangan, dan mencari kemanisan iman dalam beribadah. Inilah sebab utamanya saya memilih tema ini.


Impian saya adalah ingin menjadi seorang penulis terkemuka. Seorang penulis yang menyebarkan dakwah Islamiyyah, mengemukakan kisah sejarah Islam, dan menggabungkan Sains dan al-Quran. Sehingga kini, impian saya ini masih belum lagi tercapai. Saya yakin, melalui penulisan blog, saya boleh meluahkan minat dan bakat saya untuk menulis, menghasilkan artikel yang dicipta sendiri, meluahkan segala pandangan dan pemikiran saya, dan menggarapnya mengikut cara dan gaya bahasa yang tersendiri. Sejak kewujudan blog sendiri, saya semakin asyik dengan dunia 'blog'. Saya berusaha untuk mengeluarkan post terkini. Mengeluarkan artikel yang terbaik. Namun, buat permulaan, maafkan saya pada semua pengunjung, saya akui artikel saya lebih banyak berkisar kepada kehidupan saya sendiri. Mungkin juga kerana saya kurang mengambil tahu tentang hal ehwal semasa. Maafkan saya atas kelemahan dan ketidaksempurnaan diri ini. Insya Allah, artikel saya pada masa akan datang akan lebih bersifat pemikiran yang kreatis. Artikel yang mengupas isu-isu semasa. Kerana tujuan asal saya menghasilkan blog ini adalah untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah. Saya tidak mahu ianya dipenuhi dengan kisah hidup sendiri. Kerana saya juga mempunyai pandangan dan pemikiran yang tersendiri yang berbeza dengan orang lain.


Minat saya pada pembacaan buku dan novel memupuk minat saya untuk menulis. Minat membaca disemai pada diri sebaik sahaja saya mengenal ABC. Abah mengetahui dan memahami minat saya ini. Beliau sanggup membeli pelbagai buku untuk menjadi bahan bacaan saya. Terima kasih abah! Kerana abahlah sebenarnya yang berjaya memupuk minat saya untuk membaca dan menulis. Saya menjadi asyik dengan dunia membaca. Sanggup saya tinggalkan perkara lain demi kerana membaca. Malah, andai diberi pilihan untuk memilih sama ada buku ataupun perkara lain seperti makanan atau pakaian, saya pastinya akan memilih buku. Kerana buku sebahagian dari jiwa saya. Saya begitu teruja dengan buku. Hal ini kerana melalui membaca, pelbagai manfaat dan pengajaran diperoleh, teknik dan olahan penceritaannya dapat dinilai, dan perkara yang utama ialah saya dapat mengambil manfaat dari gaya bahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan. Apabila dalam penulisan, sedikit sebanyak ianya dapat membantu saya dalam menghasilkan sebuah karya yang terbaik. Disebabkan inilah, saya lebih suka untuk menulis. Menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk pembaca. Impian saya, saya ingin menggabungkan eleman al-Quran dan Sains, sejarah, dan dakwah Islamiyyah.
Pergaulan dengan sahabat-sahabat dari Fakulti Sains dan Teknologi membuka minda dan fikiran saya. Terkenang kembali semasa saya di Tingkatan Empat dan Lima. Saya mengambil aliran Sains dan Agama semasa SPM. Saya ingin kembali mempelajari Fizik, Biologi, Kimia, Matematik, dan Matematik Tambahan. Teringat saya ketika mempelajari Fizik, saya selalunya sukar untuk memahami begitu juga dengan Kimia dan Matematik Tambahan. Waktu mempelajari Biologi pula, mata saya selalu sahaja mengantuk. Ingin sahaja saya membuka dan membelek semua buku teks subjek Sains Tulen milik adik saya kini. Saya sedar, al-Quran dan Sains sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya saling berkaitan. Semakin kita dalami ilmu Sains, semakin terasa betapa kerdilnya diri ini sebagai seorang hamba Allah SWT. Semakin dalam rasa ingin mengenali-Mu Ya Allah. Sedikit sebanyak, saya berasa sedikit cemburu dengan sahabat-sahabat dari FST. Hal ini kerana, mereka mempunyai kelebihan mempelajari dua bidang sekaligus. Sains dan Agama. Namun, segalaya sudah tersurat sebagai suratan takdir. Teringat lagi pada sebuah memori silam, selepas dua kali menduduki ujian bertulis Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), saya akhirnya berjaya untuk ditemuduga untuk jawatan Pembantu Farmasi, Pembantu Makmal Perubatan, Jururawat Desa, dan Pembantu Perubatan. Sekiranya saya berjaya pada sesi temuduga, saya akan belajar di sebuah kolej perubatan dan apabila tamat, saya akan dipanggil kerja untuk mengisi kekosongan jawatan. Buat pertama kalinya dalam hidup, saya perlu menghadiri temuduga seperti ini. Semuanya meninggalkan pengajaran dan pengalaman berharga. Namun, mungkin kerana jiwa dan hasrat saya untuk meneruskan pengajian di bidang Sains pada masa itu lemah, ditambah pula dengan hasrat ke Universiti untuk meneruskan pengajian di bidang Agama, maka persiapan untuk ditemuduga kurang dititikberatkan. Seperti yang dijangkakan, saya akhirnya gagal dalam ujian temuduga tersebut. Hasilnya seperti sekarang, saya akhirnya memilih untuk meneruskan pengajian di bidang Agama. Meneruskan pengajian di bidang Arab dan Tamadun Islam, pengkhususan Sejarah dan Tamadun Islam. Apabila menyedari Sains dan al-Quran tidak boleh dipisahkan, saya berharap agar ianya tidak terlewat untuk saya kembali mendalami semula pelbagai ilmu Sains ini. Saya ingin menghasilkan sebuah karya penulisan berkisar tentang al-Quran dan Sains. Melahirkan semula tokoh-tokoh ilmuan Sains pada waktu dahulu seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Al-Razi, dan sebagainya agar tamadun Islam gemilang seperti dahulu. Kini, tamadun Barat sebenarnya banyak ditiru dan diceduk oleh Barat melalui Perang Salib dari kegemilangan tamadun Islam. Ingin saya realisasikan hasrat seorang tokoh gerakan Islah di Turki, Badiuzzaman Said an Nursi yang mengatakan al-Quran dan Sains adalah seiring. Di samping itu, beliau berhasrat mewujudkan sekolah aliran Sains dan Agama. Saya juga ingin menghasilkan sebuah karya penulisan yang menyampaikan dakwah Islamiyyah dan Sejarah Islam. Kerana kedua-duanya adalah minat saya.


Demi merealisasikan impian menjadi seorang penulis, saya memohon tunjuk ajar dan pengalaman dari penulis yang lebih arif. Saya tidak pernah berpeluang mengikuti bengkel penulisan. Secara jujurnya, setiap penulisan yang dihasilkan adalah hasil pembacaan saya. Oleh itu, saya memerlukan nasihat dan bimbingan dari seorang yang berpengalaman. Doakan saya agar impian ini tercapai jua suatu nanti. Segala nasihat dan teguran akan dijadikan panduan. Untuk ummi dan abah, terima kasih kerana berjaya mentarbiah diriku untuk menjadi manusia yang berguna pada manusia lain. Doakan agar hasrat anakmu ini tercapai jua. Untuk keluarga dan sahabat sekalian, restu dan doa kalian amat diperlukan.


0 comments:

Post a Comment