Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


Tengah hari tadi, saya mendapat mesej dari adik sefikrah, Salwa mengajak saya untuk menziarahi perkampungan Orang Asli yang terletak di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya lantas menerima ajakannya. Tambahan pula, dapat mengisi masa yang terluang yang mula dilanda kebosanan. Bersama Salwa dan seorang sahabat lagi, Suhaila yang ditemani adiknya, kami menuju ke Kg Sungai Buah selepas Solat Jumaat. Perjalanan hanya mengambil masa yang singkat kerana tempatnya tidaklah terlalu jauh.

Ketibaan kami disambut dengan gembira. Kami menuju ke rumah kakak angkat Su yang terletak di kampung tersebut. Perbualan kami banyak membincangkan tentang usaha dan program dakwah yang telah dijalankan di situ. Kampung itu sebenarnya terdapat beberapa orang Melayu Jawa dan selebihnya adalah Orang Asli. Ustaz Afif yang merupakan orang Melayu Jawa menjadi tenaga pengajar di situ. Jika beliau berkelapangan, beliau akan menjadi Imam untuk solat jemaah Maghrib dan Isyak. Pengajian al-Quran turut diajarkan di situ. Maka, ramai yang datang untuk mengimarahkan surau. Sebaliknya, jika beliau tiada, surau akan menjadi sunyi. Masing-masing lebih senang untuk solat di rumah. Begitu juga dengan pengajian al-Quran, ianya akan menjadi senyap seketika. Sambutan perayaan Hari Raya Korban pula hanyalah seperti biasa. Berbeza pula dengan Hari Raya Eidulfitri, sambutan lebih meriah sedikit. Namun begitu, sesuatu yang cukup membanggakan adalah sebanyak 70% masyarakat di sini sudah memeluk Islam. Hanya tinggal 30% yang masih tidak mempunyai pegangan agama yang tetap.

Sesuatu yang baru diketahui ialah kakak angkat Su sebenarnya dilahirkan sebagai seorang Islam sejak dilahirkan lagi. Suaminya merupakan penduduk asal di situ. Beliau memeluk Islam sebelum berkahwin dengan kakak angkat Su. Suaminya merupakan satu-satunya yang memeluk Islam dalam keluarganya selain dari ibunya yang telah meninggal dunia. Ibunya memeluk Islam semasa nazak dan sempat mengucapkan syahadah di pangkuan kakak angkat Su. Hati saya sedikit terkesan. Ibunya dilahirkan semula bagaikan bayi suci yang tiada dosa. Alhamdulillah, Allah memberikan hidayahNya kepada yang dikehendakiNya. Perjalanannya menuju akhirat menjadi mudah. Terfikir saya sejenak, bagaimana pula dengan kita yang secara semulajadinya dilahirkan Islam. Dipenuhi dengan dosa dan pahala yang tidak tahu mana beratnya. Bagaimana pula dengan perjalanan di akhirat nanti? Ya Allah, permudahkanlah jalanku ini. Berikanlah kesempatanku untuk bertaubat. Terimalah taubat hambaMu ini. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ku ini.

Sempat saya meneliti cara kehidupan mereka. Walaupun hidup dikelilingi dengan hutan tebal, namun kehidupan mereka kini sudah maju. Dibekali dengan pelbagai kemudahan asas seperti elektrik dan air malah anak-anak mereka juga sudah bersekolah. Bahkan, ada juga yang melanggan ASTRO walaupun rumah hanyalah kecil. Pendek kata, kehidupan mereka sudah maju seperti mana dengan masyarakat yang lain. Sesuatu yang boleh dibanggakan bagi mereka yang kini boleh menerima kemajuan dan peningkatan taraf hidup.

Kakak angkat Su menceritakan hidupnya sejak mula-mula berkahwin dengan suaminya. Masyarakat orang asli menggunakan kayu api untuk memasak. Sesuatu yang sukar untuknya menggunakan kayu api seperti mereka. Malah, jika saya sendiri yang mengalaminya, tentunya sukar bagi saya dan orang lain yang tidak pernah menggunakannya. Namun, beliau tetap berusaha untuk belajar. Ibu mertuanya akhirnya mengajarkan kepadanya. Sesuatu yang cukup dikagumi saya. Kakak angkat Su berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan masyarakat di situ. Malah, beliau sanggup belajar untuk perkara yang tidak diketahuinya.

Setelah berbual dengan mereka, saya membuat kesimpulan bahawa masyarakat orang asli amat memerlukan pembimbing untuk mengajar agama. Mereka dahagakan bimbingan ke arah mempelajari dan mendalami ilmu agama. Mereka memerlukan ilmu akhirat. Jika berkesempatan lagi, saya teringin untuk menziarahi mereka kembali. Mengajarkan ilmu agama, membimbing dari kejahilan, dan membawa mereka ke arah kebenaran. Saya tahu, jalannya bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Dakwah yang digunakan mestilah dakwah yang berhikmah. Dakwah kepada mereka mempunyai banyak cabaran dan dugaan. Itulah yang dinamakan seorang pendakwah. Namun, jika bukan kita yang membimbingnya, siapa lagi yang dapat diharapkan? Kitalah yang sepatutnya tampil membantu mereka. Doakan agar misi dakwah saya dan sahabat saya berjaya!

P/S:Maaf kerana tiada gambar untuk dipaparkan untuk tatapan umum. Harapan saya, cukuplah pengalaman ini yang menceritakan dan menggambarkan kepada sahabat semua.

Nantikan pengalaman saya ke Program OPKIM ISIUKM 09 Kampung Cheros, Cameron Highlands. Sebuah perkampungan orang asli. Nantikan penceritaannya pada post akan datang.

Terkenang kembali pada sebuah memori silam.
Masih segar dalam ingatan saya, kata-kata dari seorang sahabat.

'Kau ni macam pelajar jabatan dakwah pula, sibuk dengan blog'.

Teringat pula pada kata-kata dari seorang sahabat yang lain.

'Kalau buat blog, lepas ni kena selalu 'update'lah'.

Tersenyum saya tatkala mereka mengeluarkan kata-kata begitu. Sebetulnya, sudah lama tersimpan sebuah hasrat di hati saya untuk mewujudkan sebuah laman blog peribadi sendiri. Namun, dek kerana takut hasil yang diberikan tidak memuaskan, saya hanya mampu menyimpan hasrat di hati. Saya hanya mampu untuk menjadi pelawat blog sahabat lain, memberikan komen dan pandangan pada artikel yang dikeluarkan, dan menilai setiap pandangan yang diberikan mereka. Mengutip segala yang bernilai dan bermanfaat untuk dijadikan panduan hidup. Walaupun begitu, semangat saya semakin berkobar-kobar tatkala melihat sahabat sebilik, Fatimah bertungkus-lumus untuk menyiapkan tugasan blog. Semua pelajar tahun tiga jabatan pengajian dakwah dan kepimpinan wajib menghasilkan blog untuk subjek Teknologi Maklumat Dakwah. Termasuklah sahabat sebilik saya ini. Tatkala itu, hasrat ingin menghasilkan blog hampir tercapai. Saya berpandangan, kesempatan ini perlu digunakan dengan sebaiknya. Fatimah boleh membantu saya. Kami akhirnya saling bantu-membantu demi merealisasikan hasrat ini. Maka, terciptalah sebuah blog peribadi sendiri. Tersenyum bangga tatkala melihat hasil sendiri. Malah, saya rasakan kini saya hampir menyamai sahabat lain yang telah lama menghasilkan blog peribadi sendiri.

Terciptalah sebuah tema blog yang diberi nama 'Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman'. Mengapa tema ini yang dipilih? Jawapan saya, seorang hamba dilahirkan untuk beribadat kepada-Nya. Kehidupan yang dilalui adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Untuk mencapai ketakwaan, mencari ketenangan, dan mencari kemanisan iman dalam beribadah. Inilah sebab utamanya saya memilih tema ini.


Impian saya adalah ingin menjadi seorang penulis terkemuka. Seorang penulis yang menyebarkan dakwah Islamiyyah, mengemukakan kisah sejarah Islam, dan menggabungkan Sains dan al-Quran. Sehingga kini, impian saya ini masih belum lagi tercapai. Saya yakin, melalui penulisan blog, saya boleh meluahkan minat dan bakat saya untuk menulis, menghasilkan artikel yang dicipta sendiri, meluahkan segala pandangan dan pemikiran saya, dan menggarapnya mengikut cara dan gaya bahasa yang tersendiri. Sejak kewujudan blog sendiri, saya semakin asyik dengan dunia 'blog'. Saya berusaha untuk mengeluarkan post terkini. Mengeluarkan artikel yang terbaik. Namun, buat permulaan, maafkan saya pada semua pengunjung, saya akui artikel saya lebih banyak berkisar kepada kehidupan saya sendiri. Mungkin juga kerana saya kurang mengambil tahu tentang hal ehwal semasa. Maafkan saya atas kelemahan dan ketidaksempurnaan diri ini. Insya Allah, artikel saya pada masa akan datang akan lebih bersifat pemikiran yang kreatis. Artikel yang mengupas isu-isu semasa. Kerana tujuan asal saya menghasilkan blog ini adalah untuk menyebarkan dakwah Islamiyyah. Saya tidak mahu ianya dipenuhi dengan kisah hidup sendiri. Kerana saya juga mempunyai pandangan dan pemikiran yang tersendiri yang berbeza dengan orang lain.


Minat saya pada pembacaan buku dan novel memupuk minat saya untuk menulis. Minat membaca disemai pada diri sebaik sahaja saya mengenal ABC. Abah mengetahui dan memahami minat saya ini. Beliau sanggup membeli pelbagai buku untuk menjadi bahan bacaan saya. Terima kasih abah! Kerana abahlah sebenarnya yang berjaya memupuk minat saya untuk membaca dan menulis. Saya menjadi asyik dengan dunia membaca. Sanggup saya tinggalkan perkara lain demi kerana membaca. Malah, andai diberi pilihan untuk memilih sama ada buku ataupun perkara lain seperti makanan atau pakaian, saya pastinya akan memilih buku. Kerana buku sebahagian dari jiwa saya. Saya begitu teruja dengan buku. Hal ini kerana melalui membaca, pelbagai manfaat dan pengajaran diperoleh, teknik dan olahan penceritaannya dapat dinilai, dan perkara yang utama ialah saya dapat mengambil manfaat dari gaya bahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan. Apabila dalam penulisan, sedikit sebanyak ianya dapat membantu saya dalam menghasilkan sebuah karya yang terbaik. Disebabkan inilah, saya lebih suka untuk menulis. Menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk pembaca. Impian saya, saya ingin menggabungkan eleman al-Quran dan Sains, sejarah, dan dakwah Islamiyyah.
Pergaulan dengan sahabat-sahabat dari Fakulti Sains dan Teknologi membuka minda dan fikiran saya. Terkenang kembali semasa saya di Tingkatan Empat dan Lima. Saya mengambil aliran Sains dan Agama semasa SPM. Saya ingin kembali mempelajari Fizik, Biologi, Kimia, Matematik, dan Matematik Tambahan. Teringat saya ketika mempelajari Fizik, saya selalunya sukar untuk memahami begitu juga dengan Kimia dan Matematik Tambahan. Waktu mempelajari Biologi pula, mata saya selalu sahaja mengantuk. Ingin sahaja saya membuka dan membelek semua buku teks subjek Sains Tulen milik adik saya kini. Saya sedar, al-Quran dan Sains sebenarnya tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya saling berkaitan. Semakin kita dalami ilmu Sains, semakin terasa betapa kerdilnya diri ini sebagai seorang hamba Allah SWT. Semakin dalam rasa ingin mengenali-Mu Ya Allah. Sedikit sebanyak, saya berasa sedikit cemburu dengan sahabat-sahabat dari FST. Hal ini kerana, mereka mempunyai kelebihan mempelajari dua bidang sekaligus. Sains dan Agama. Namun, segalaya sudah tersurat sebagai suratan takdir. Teringat lagi pada sebuah memori silam, selepas dua kali menduduki ujian bertulis Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), saya akhirnya berjaya untuk ditemuduga untuk jawatan Pembantu Farmasi, Pembantu Makmal Perubatan, Jururawat Desa, dan Pembantu Perubatan. Sekiranya saya berjaya pada sesi temuduga, saya akan belajar di sebuah kolej perubatan dan apabila tamat, saya akan dipanggil kerja untuk mengisi kekosongan jawatan. Buat pertama kalinya dalam hidup, saya perlu menghadiri temuduga seperti ini. Semuanya meninggalkan pengajaran dan pengalaman berharga. Namun, mungkin kerana jiwa dan hasrat saya untuk meneruskan pengajian di bidang Sains pada masa itu lemah, ditambah pula dengan hasrat ke Universiti untuk meneruskan pengajian di bidang Agama, maka persiapan untuk ditemuduga kurang dititikberatkan. Seperti yang dijangkakan, saya akhirnya gagal dalam ujian temuduga tersebut. Hasilnya seperti sekarang, saya akhirnya memilih untuk meneruskan pengajian di bidang Agama. Meneruskan pengajian di bidang Arab dan Tamadun Islam, pengkhususan Sejarah dan Tamadun Islam. Apabila menyedari Sains dan al-Quran tidak boleh dipisahkan, saya berharap agar ianya tidak terlewat untuk saya kembali mendalami semula pelbagai ilmu Sains ini. Saya ingin menghasilkan sebuah karya penulisan berkisar tentang al-Quran dan Sains. Melahirkan semula tokoh-tokoh ilmuan Sains pada waktu dahulu seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Al-Razi, dan sebagainya agar tamadun Islam gemilang seperti dahulu. Kini, tamadun Barat sebenarnya banyak ditiru dan diceduk oleh Barat melalui Perang Salib dari kegemilangan tamadun Islam. Ingin saya realisasikan hasrat seorang tokoh gerakan Islah di Turki, Badiuzzaman Said an Nursi yang mengatakan al-Quran dan Sains adalah seiring. Di samping itu, beliau berhasrat mewujudkan sekolah aliran Sains dan Agama. Saya juga ingin menghasilkan sebuah karya penulisan yang menyampaikan dakwah Islamiyyah dan Sejarah Islam. Kerana kedua-duanya adalah minat saya.


Demi merealisasikan impian menjadi seorang penulis, saya memohon tunjuk ajar dan pengalaman dari penulis yang lebih arif. Saya tidak pernah berpeluang mengikuti bengkel penulisan. Secara jujurnya, setiap penulisan yang dihasilkan adalah hasil pembacaan saya. Oleh itu, saya memerlukan nasihat dan bimbingan dari seorang yang berpengalaman. Doakan saya agar impian ini tercapai jua suatu nanti. Segala nasihat dan teguran akan dijadikan panduan. Untuk ummi dan abah, terima kasih kerana berjaya mentarbiah diriku untuk menjadi manusia yang berguna pada manusia lain. Doakan agar hasrat anakmu ini tercapai jua. Untuk keluarga dan sahabat sekalian, restu dan doa kalian amat diperlukan.



Apabila gejala sosial semakin meningkat, kes penzinaan semakin bertambah, maka makin bercambahlah pembuangan anak yang tidak bersalah di merata tempat. Nilai moral menjadi rendah dan runtuh. Budaya Barat diagungkan tetapi nilai ketimuran tidak dihiraukan. Akhlak dan peribadi seorang Muslim tidak diamalkan. Kehidupan seseorang makin jauh dari landasan hidup Islam.

Apabila kes keruntuhan akhlak semakin meningkat, jalan penyelesaiannya adalah kembali kepada fitrah Islam. Islam adalah agama yang syumul. Agama yang mudah dan adil untuk Umat Islam. Islam meletakkan cara hidup yang penuh dengan aturan yang tersusun. Semuanya mempunyai hikmah dan kebaikan untuk Umat Islam.


Fitrah semulajadi seorang manusia adalah cinta. Setiap manusia dikurniakan perasaan cinta. Islam tidak melarang cinta sesama manusia tetapi manusia yang menyalahgunakannya. Cinta yang dibenarkan dalam Islam adalah cinta selepas pernikahan. Tiada istilah cinta sebelum pernikahan dalam Islam. Istilah cinta sebelum pernikahan atau 'couple' seolah-olah menjadi satu kemestian bagi muda-mudi sekarang. Adalah suatu yang janggal sekiranya seseorang itu tidak mempunyai pasangan untuk berpeleseran. Hal ini bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang umatnya mendekatkan diri dengan penzinaan. Sepertimana dalam Surah al-Isra' yang bermaksud:

Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.
(Surah al-Isra' 17 : 32)

Zina mempunyai berbagai jenis dan perin
gkatnya; iaitu persetubuhan haram antara lelaki dan perempuan yang tidak sah, zina tangan iaitu berpegang-pegangan, zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi, malah melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah :

Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman.
(Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Jalan dan lorong menuju penzinaan ada banyak caranya. Jangan biarkan kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lor
ong yang boleh membawa kepada penzinaan. Jangan menjadi ibu atau bapa kepada anak zina. Kasihanilah pada pewaris generasi kita. Mereka tidak mahu dilahirkan sebagai anak zina apatah lagi menanggung malu atas keaiban ibu bapa mereka. Oleh itu, jangan hampiri zina.

Masih belum terlewat bagi yang pernah melakukannya. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat keredhaanNya.

Pembacaan buku 'Pemilik Cintaku Se
telah Allah dan Rasul' karya Fatimah Syarha Mohd Nordin memberi banyak pengajaran dan nasihat kepada saya. Sebuah bingkisan yang ingin dikongsikan penulis buat :
  1. Adik-adik remaja yang baru ingin mengenali cinta
  2. Bakal-bakal pengantin baru
  3. Pengantin baru
  4. Para Suami
  5. Para Isteri
  6. Ibubapa
Karya yang dihasilkan menceritakan betapa indahnya cinta selepas pernikahan. Gaya bahasa dan jalan penceritaannya cukup menarik dan nasihat yang diberikan cukup berhikmah. Bacalah buku ini, di dalamnya terdapat pelbagai nasihat dan pengajaran.


Cinta selepas pernikahan berlaku setelah lafaz akad nikah. Cinta ini adalah cinta yang dibenarkan dalam Islam. Betapa Islam tidak melarang Umatnya bercinta, tetapi mengikut landasan yang dibenarkan. Indahnya cinta selepas pernikahan kerana banyak perkara yang ingin dikongsi dan diceritakan bersama pasangan. Berbeza pula dengan cinta sebelum pernikahan, tentulah banyak perkara dan aktiviti yang dilakukan bersama. Selepas pernikahan, perasaan jemu dan hambar mula muncul. Tiada apa yang ingin dicerita dan dikongsi bersama kerana semuanya telah diceritakan sebelum pernikahan. Bukankah ianya menimbulkan kebosanan? Tatkala itu juga, hubungan antara pasangan mula menjadi tegang. Sehingga kemuncaknya, perceraian adalah jalan penyelesaian. Apabila diteliti punca dan sebabnya, jalan yang dipilih menuju perkahwinan adalah salah. Kehidupan menjadi tidak berkat dan tidak diredhai Allah. Maka, betapa pentingnya memilih jalan yang betul demi kelangsungan hidup yang seterusnya. Semoga pewaris generasi yang dilahirkan pula adalah anak-anak yang baik dan soleh. Sepertimana dalam Surah An Nur:

Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik pula.
(Surah An Nur 24 : 26)


Islam meletakkan garis panduan yang tersusun dan berhikmah. Semuanya memberi kebaikan kepada Umat Islam. Oleh itu, janganlah kita terlibat dengan cinta sebelum pernikahan kerana implikasi dan kesannya cukup banyak. Cinta seperti ini mengundang diri ke arah penzinaan. Pilihlah cinta selepas pernikahan kerana ianya cukup indah dan berhikmah. Cinta ini selalunya bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.


'Jika remaja dapat melalui zaman remajanya yang sukar ini dengan jayanya, tidak ada lagi zaman yang lebih sukar daripada itu'.

Sumber rujukan:
  1. Jangan Hampiri Zina
  2. Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul


Bingkisan Rindu
Munsyid : Far East

Antara kita tiada rahsia
Susah dan senang tetap bersama
Terpatri namamu
Kau takkan kulupa

Sudah bertahun lama
Kita tidak lagi bersua
Hanya tinggal kenangan
Yang tak mungkin kita lupa

Kirimkan khabar selalu
Seiringan hembusan bayu
Sekadar pengubat rasa rindu dikalbu

Pantas masa berlalu
Meninggalkan kita semua
Tanpa disedari bertambahlah usia kita

Potret lama masih kusimpan
Kubingkaikan kenangan
Hingga terkadangku
Tersenyum sendirian

Oh perjalanan kita masih jauh
Jalanan berliku akan kita tempuh
Imbaslah kenangan semalam jadi azimat
Penguat semangat menempuh masa hadapan
Harapanku kau kan bahagia selalu

Padaku engkau penghibur duka
Pengubat hati resah kecewa
Dikala malamku kau bawa cahaya

Antara kita tiada rahsia
Susah dan senang tetap bersama
Terpatri namamu
Kau takkan kulupa

Perjalanan kita masih jauh
Jalanan berliku akan kita tempuh
Imbaslah kenangan semalam jadi azimat
Penguat semangat menempuh masa hadapan
Harapan ku kau kan bahagia selalu
Sematkanlah bingkisan rindu dikalbu