Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا


BIODATA HIDUP

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di Kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak. Ianya tidak jauh dari Padang Rengas. Beliau berketurunan Jawa. Datuknya berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang 1850-an . Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, Perak, untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercucuk tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.

USAHA MENGEMBANGKAN ISLAM DI TANAH MELAYU

1. ASPEK PENDIDIKAN

Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan khususnya Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abdul Manaf, Penghulu Ketua Kampung Gunung Semanggol maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Madrasah Al-Ihya Al Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.


Lima jenis mata pelajaran telah diajar di Madrasah itu; iaitu Ilmu Teras (Tauhid, Tasawuf, Fiqh, Tafsir, Hadis); Ilmu Alat (Nahu Arab, Saraf, Balaghah); Ilmu Pelengkap (Sejarah Islam, Mantik, Hisab, Geografi, al-Tibb, Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Tatanegara, Sejarah Umum, Pidato Umum, Seni Khat); Ilmu Pertukangan (pelajar putera sahaja).

Menjelang tahun 1939, Madrasah ini menawarkan kelas Thanawi dan ‘Ali dan namanya telah ditukarkan kepada Maahad al-Ehya As Sharif. Perang yang meletus telah membantutkan perjalanan Maahad ini. Selepas perang berakhir, Abu Bakar mula merangka polisi pendidikan kebangsaan dan Maahad ini mula mengajar mata pelajaran akademik seperti di sekolah formal kerajaan. Hasilnya ramai lulusan Maahad ini turut mempunyai kelulusan SPM dan mendapat tempat di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Walaupun MAEAS telah wujud lebih 50 tahun lalu tetapi tidak ramai generasi muda mengenalinya. Syeikh Abu Bakar Al-Baqir yang mengasaskan Madrasah itu pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir. Syeikh Abu Bakar Al-Baqir bukan sekadar tokoh pendidikan tempatan tetapi pernah dilantik sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran, Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA).

Bermula dari situlah beliau telah merangka dasar pendidikan nasional. Dalam persidangan di MAEAS 15 November 1947, beliau yang dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al-Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (Lepir). Di antara tujuan Lepir ditubuhkan adalah untuk menyeragamkan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat di Malaya. Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan dikelolakan oleh Syeikh Haji Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Al-Rabb.


2. ASPEK EKONOMI

Dalam kegiatan ekonomi, Syeikh Abu Bakar Al-Baqir telah mengetuai Persatuan Al-Ehya Al-Syarif. Persatuan ini telah didaftarkan di bawah undang-undang Kompeni dan Syarikat pada tahun 1940. Persatuan Al-Ehya Al-Syarif masih lagi aktif hingga sekarang. Persatuan ini mengusahakan tiga jenis projek, iaitu kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik. Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol dan Kubu Gajah. Kadar bayaran dikenakan kepada pengguna-pengguna adalah sebanyak RM1.00 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Selepas itu stesen janakuasa elektrik diambil alih oleh Lembaga Letrik Negara (kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad). Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua persatuan itu hingga meninggal dunia pada tahun 1974.

3. ASPEK POLITIK

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal dunia pada 25 September 1969).

Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia. Pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS. Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi.

Persidangan ini telah ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti itu mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmahan-tohmahan. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Dato' Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.

Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abd. Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS). Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma'ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Ia juga mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain.

Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar. Mengenang segala jasa yang tidak ternilai, Syeikh Abu Bakar Al-Baqir telah dikurniakan Anugerah Tokoh Guru 1975.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh
Pengasuh. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari dari Indonesia sangat membantu dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Asri Muda.

Menurut kisah itu, Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.

Dalam suatu kenyataan akhbarnya beliau pernah menyebutkan: “Pada waktu dunia penuh dengan berbagai-bagai pancaroba yang masing-masing menegakkan fahamannya, maka di sinilah setiap umat Islam mesti kembali kepada ajaran Al-Quran yang di dalamnya melengkapi segala kehendak alam untuk mendapat keamanan dan keadilan yang sebenar-benarnya. Jika seluruh manusia mengambil Al-Quran menjadi panduan hidupnya nescaya dunia tidaklah menerima nasib seperti yang ada pada hari ini.

Tentang fahaman fikahnya menurut Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma'ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkin, fidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran.

KESIMPULAN

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir merupakan seorang ulama yang banyak membawa pembaharuan dalam usaha mengembangkan Islam di Tanah Melayu. Beliau berjaya membuka pemikiran, semangat, dan mempengaruhi ramai Umat Islam kepada usaha yang dilakukannya. Oleh sebab itu, beliau merupakan seorang tokoh ulama yang dihormati. Malahan, beliau turut menjadi Anugerah Tokoh Guru 1975.

Penahannya selama empat tahun walaupun serba sedikit mencacatkan perjalanan Maahad Ehya Al- Syarif, namun akhirnya dapat disusun semula untuk menjadi institusi pendidikan yang mementingkan pendidikan keagamaan tanpa mengetepikan pendidikan formal.

0 comments:

Post a Comment