Menyusuri Kehidupan Mencari Sebutir Permata Iman

KUATKAN KEBERGANTUNGAN PADA ALLAH. BERSABAR DAN REDHALAH DI ATAS SEGALANYA YANG TERJADI. PERCAYA DAN YAKIN BAHAWA SEMUANYA TERSIRAT SEJUTA MAKNA DAN HIKMAH. لا تحزن إن اللة معنا




Assalamualaikum buat semua pengunjung. Kali ini lagu Adakah Kau Lupa menjadi pilihan saya. Lagu ini merupakan lagu tema ketika saya menyertai salah satu program anjuran ISIUKM. Liriknya meniupkan s
emangat jihad dalam diri disamping mengingat kembali sejarah kegemilangan Islam. Lantaran itu, semangat saya berkobar-kobar untuk mempelajari dan mengkaji tentang seorang pahlawan Islam yang terbilang, iaitu Salahuddin al-Ayyubi. Maka, untuk subjek modul Sejarah Tamadun Islam, saya lantas memilih subjek Perang Salib. Untuk tugasan kertas kerja, saya mengambil tajuk Kerajaan Salahuddin al Ayyubi. Malah, saya sanggup membeli sebuah novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib yang bertajuk Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem. Maka, lagu inilah yang membuatkan semangat jihad berkobar-kobar serta membuatkan saya begitu teruja untuk mempelajari dan mengkaji. Untuk para pejuang Islam, kembalikan kebangkitan Islam. Buat semua para peserta Kembara al-Banna 09, teruskan perjuangan!


Wassalam..


Salam Aidilfitri buat semua pengunjung. Alhamdulillah, kali ini saya berpeluang pulang ke kampung bersama dengan sahabat tercinta i
aitu Kak Aza dan Fatimah. Kami pulang dengan menaiki kereta dek kerana kehabisan tiket yang ingin dibeli dua minggu sebelum Ramadhan. Mujurlah Kak Aza mengajak kami pulang bersamanya. Dapatlah kami menumpangnya. Namun, apa yang saya ingin sampaikan disini ialah pengalaman saya dalam menyambut Aildilfitri pada kali ini.

Peristiwa Pertama


Petang Rabu kami bertolak ke rumah kakak Kak Aza di Raw
ang. Di sana, kami menumpang tidur semalam sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung pada keesokan harinya. Satu pengalaman yang menarik ialah saya berpeluang membantu kakaknya membuat kuih raya yang ditempah oleh pelanggan. Saya bersama Fatimah mencuba untuk membuatnya walaupun agak kekok pada mulanya dek kerana telah lama tidak membuat kuih. Namun, kami memperbaiki sedikit demi sedikit dan hasilnya kami berjaya menghasilkan kuih yang baik.

Peristiwa Kedua

Alhamdulillah, kali ini saya bersama keluarga tercinta berpeluang mendirikan Solat Sunat Aidilfitri di Surau Al-Huda yang terletak berdekatan dengan rumah kami. Terasa sedih dan sayu tatkala mengucapkan takb
ir kerana memikirkan Ramadhan yang berlalu. Hati saya bergetar pilu. Adakah aku masih berpeluang untuk menikmati Ramadhan pada masa akan datang? Adakah aku sudah mencapai tahap ketakwaan yang melayakkan ku untuk merayakan hari kemenangan ini? Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar memberikan ku peluang menikmati Ramadhan lagi. Ku memohon kepada-Mu agar ditetapkan hati dalam mengejar Syurga-Mu. Sesungguhnya, Engkau Maha Mengetahui segala sesuatu. Usai Solat Sunat Aidilfitri, dua khutbah dibacakan sebagai syarat sah dan syarat wajib solat. Namun, apa yang saya perhatikan ialah tatkala inilah semua orang mula bercakap tentang hal dunia. Membicarakan hidangan di rumah yang disediakan pada hari ini dan pelbagai lagi. Seolah-olah khutbah bukanlah syarat wajib tetapi hanya sekadar pengisian biasa. Ya Allah, tidak kah mereka tahu tentang hakikat sebenarnya? Hati saya terasa sakit dan pedih lantaran diri tidak mampu untuk menegur tetapi hanya sekadar menunjukkan riak muka yang tidak suka. Mereka yang berbual itu kebanyakannya terdiri dari orang tua. Ya Allah, betapa lemahnya diriku ini. Tidak mampu untuk menegur tetapi hanya mampu membenci dalam hati. Mungkin juga kerana penyampai khutbah kurang menarik dan berkesan dalam menyampaikan khutbahnya. Lantaran itu, maka ramailah yang berbual dari mendengar khutbah yang disampaikan.

Peristiwa Ketiga

Sekembalinya dari Solat Sunat Aidilfitri, rumah kami tidak putus-putus dikunjungi tetamu sehingga sampai waktu senja. Rasa letih dan penat tidak terkata kerana tidak cukup tangan untuk melayani tetamu. Namun, itulah hikmah disebaliknya. Moga-moga, tetamu yang datang dapat memberi rahmat dan mengampunkan dosa kami semua. Alhamdulillah. Mungkin juga kerana inilah kali pertama kami sekeluarga beraya di sini. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, kami pulang beraya di kampung sebelah ibu yang terletak di Kampung Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan.

Perisitiwa Keempat

Hari ini, kami menziarah kubur nenek yang dirindui dan me
ngunjungi rumah saudara-mara. Inilah peluang untuk kembali menjalin hubungan silaturrahim yang terputus. Saat inilah peluang untuk mengenali saudara yang mungkin selama ini tidak dikenali. Terasa indahnya ukhuwah dalam Islam. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Moga-moga, kita berpeluang untuk bertemu lagi. Namun, satu perkara yang menarik perhatian saya ialah rancangan-rancangan televisyen yang dihidangkan kebanyakannya tidak berilmiah. Semuanya boleh dikatakan rancangan berbentuk hiburan. Lelaki dan perempuan bercampur tanpa batasan. Program yang diadakan pula hanya semata-mata ingin mengaut keuntungan dan meraih penonton yang ramai. Hasilnya, maka akan terbentuklah golongan yang tidak mengambil peluang ini untuk ziarah-menziarahi demi mengejar rancangan yang berbentuk hiburan seperti ini. Pengertian Hari Kebesaran bagi mereka bukanlah ingin memuji dan mengucapkan syukur pada Allah kerana menganugerahkan Hari Kebesaran ini tetapi menyambutnya dengan perkara yang melampaui batas. Inilah tanda-tanda dekatnya dengan Hari Kiamat. Ya Allah, sedarkanlah sekalian hamba-Mu ini, berikanlah mereka kesempatan untuk bertaubat.

Kesimpulan


Sebagai hamba Allah yang hina, kita sepatutnya m
engucapkan syukur dan memuji kebesaran-Nya kerana dengan rahmat-Nya kita berpeluang untuk meraikan hari kemenangan ini. Janganlah kita penuhi ia dengan perkara-perkara yang lari daripada syariat agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi.



Salam Aidilfitri untuk semua pengunjung. Di sini, saya ingin memohon keampunan di atas segala kesalahan. Ucapkan syukur dan puji-pujian pada Maha Pencipta kerana Dia yang menganugerahkan hari kemenangan pada Umat Islam. Buat mereka yang akan pulang ke kampung, selamat berhari raya dan hati-hati di jalan raya. Salam Aidilfitri.


Salam Ramadhan untuk semua pengunjung. Tingkatkan amalan. Penuhi ia dengan perkara yang bermanfaat. Moga Ramadhan pada kali ini membawa seribu pengertian. Moga kita dipanjangkan umur untuk mengecapi nikmat Ramadhan lagi.

Tahap Puasa

Tahap Puasa terbahagi kepada Puasa Umum, Puasa Khusus, dan Puasa Khususul Khusus. Puasa Umum bermaksud puasa yang hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum. Puasa Khusus pula bermaksud menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan. Manakala Puasa Khususul Khusus adalah tahap puasa yang paling tinggi. Menurut al-Ghazali, puasa tahap ini dicapai melalui:
  1. Menundukkan pandangan mata
  2. Memelihara lidah dari mengumpat
  3. Memelihara telinga dari mendengar perkara maksiat
  4. Memelihara anggota tubuh badan dari melakukan maksiat
  5. Tidak berlebihan ketika berbuka
  6. Timbul dalam hati rasa takut dan mengharap hanya kepada Allah SWT
Moga-moga, puasa kita tergolong dalam tahap puasa khususul khusus. Insya Allah. Amin. Selain itu, perbanyakkan doa kepada Allah kerana doa pada waktu ini amat mustajab, membaca al-Quran, Solat sunat, dan beriktikaf di masjid. Amalan-amalan ini sangat digalakkan di bulan yang mulia ini. Maka, rebutlah setiap peluang yang diberikan. Moga-moga kita tergolong sebagai hamba yang bertakwa. Insya Allah.





Kini, Ramadhan memasuki fasa 10 malam terakhir. Berikan tumpuan pada 10 malam terakhir ini supaya dapat mengejar dan mengecapi kelebihan Malam Lailatul Qadar serta memperbanyakkan amalan-amalan yang digalakkan. Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang bertakwa. Ampunilah segala dosaku. Tetapkan hatiku untuk berjuang menegakkan agama-Mu di muka bumi ini! Ya Allah, kuatkan hatiku untuk menghadapi godaan syaitan, cekalkan hatiku, jauhkanlah aku dari fitnah dunia, dan dari sangkaan buruk manusia. Ya Allah, kepada-Mu ku pohon petunjuk!

Salam Ramadhan Kareem..


BIODATA HIDUP

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir dilahirkan pada tahun 1907 di Kampung Gunung Semanggol, Bagan Serai, Perak. Ianya tidak jauh dari Padang Rengas. Beliau berketurunan Jawa. Datuknya berasal dari Kendal, Jawa Tengah. Haji Abdul Jabbar, datuknya ialah orang pertama daripada keluarganya yang datang menetap di Gunung Semanggol lebih kurang 1850-an . Haji Abdul Jabbar untuk pertama kalinya tinggal di Klang, Selangor, kemudian pindah ke Kuala Kurau, Perak, untuk akhirnya pindah dan menetap di Gunung Semanggol. Kehidupan mereka adalah dari bercucuk tanam dan bersawah. Haji Abdul Jabbar meninggalkan tanah sawah sebagai pusaka kepada anaknya, Mohd. Said, iaitu bapa kepada Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Dan sawah inilah kemudian menjadi penyara hidup Mohd. Said. Sebagai keluarga petani hidup mereka amat sederhana. Mohd. Said mendidik tiga orang puteranya, Muhyuddin Mohd. Said, Abu Bakar Mohd. Said, dan Abdullah Mohd. Said dengan didikan Islam dan mengajar mereka pengetahuan Islam. Demikian juga anak-anak perempuannya, Aisyah Mohd. Said, Saudah Mohd. Said, dan Hafsah Mohd. Said dididik dengan didikan agama.

USAHA MENGEMBANGKAN ISLAM DI TANAH MELAYU

1. ASPEK PENDIDIKAN

Berkat usaha gigih Syeikh Abu Bakar al-Baqir dan dengan sokongan kuat Haji Abd. Rahman dan tokoh-tokoh muslim tempatan khususnya Tuan Imam Lebai Sirat, dan Haji Abdul Manaf, Penghulu Ketua Kampung Gunung Semanggol maka pada tahun 1934 berdirilah sebuah sekolah agama yang mempunyai manhaj baru, yang diberi nama Madrasah Al-Ihya Al Shariff, menggantikan pondok yang sedia ada yang telah dibangunkan dan diuruskan oleh Haji Abd. Rahman.


Lima jenis mata pelajaran telah diajar di Madrasah itu; iaitu Ilmu Teras (Tauhid, Tasawuf, Fiqh, Tafsir, Hadis); Ilmu Alat (Nahu Arab, Saraf, Balaghah); Ilmu Pelengkap (Sejarah Islam, Mantik, Hisab, Geografi, al-Tibb, Bahasa Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Tatanegara, Sejarah Umum, Pidato Umum, Seni Khat); Ilmu Pertukangan (pelajar putera sahaja).

Menjelang tahun 1939, Madrasah ini menawarkan kelas Thanawi dan ‘Ali dan namanya telah ditukarkan kepada Maahad al-Ehya As Sharif. Perang yang meletus telah membantutkan perjalanan Maahad ini. Selepas perang berakhir, Abu Bakar mula merangka polisi pendidikan kebangsaan dan Maahad ini mula mengajar mata pelajaran akademik seperti di sekolah formal kerajaan. Hasilnya ramai lulusan Maahad ini turut mempunyai kelulusan SPM dan mendapat tempat di universiti-universiti tempatan dan luar negara.

Walaupun MAEAS telah wujud lebih 50 tahun lalu tetapi tidak ramai generasi muda mengenalinya. Syeikh Abu Bakar Al-Baqir yang mengasaskan Madrasah itu pernah disebut sebagai ulama yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan zikir. Syeikh Abu Bakar Al-Baqir bukan sekadar tokoh pendidikan tempatan tetapi pernah dilantik sebagai Pengerusi Badan Kebajikan dan Pelajaran, Majlis Agama Tertinggi Malaya (MATA).

Bermula dari situlah beliau telah merangka dasar pendidikan nasional. Dalam persidangan di MAEAS 15 November 1947, beliau yang dibantu oleh Abdul Al-Rabb Al-Tamimi, berjaya membentuk Lembaga Pendidikan Rakyat (Lepir). Di antara tujuan Lepir ditubuhkan adalah untuk menyeragamkan kurikulum pendidikan sekolah agama rakyat di Malaya. Bagi mencapai matlamat itu, sebuah pusat pendidikan sekolah rakyat ditubuhkan dan dikelolakan oleh Syeikh Haji Zubir Haji Ahmad yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Al-Rabb.


2. ASPEK EKONOMI

Dalam kegiatan ekonomi, Syeikh Abu Bakar Al-Baqir telah mengetuai Persatuan Al-Ehya Al-Syarif. Persatuan ini telah didaftarkan di bawah undang-undang Kompeni dan Syarikat pada tahun 1940. Persatuan Al-Ehya Al-Syarif masih lagi aktif hingga sekarang. Persatuan ini mengusahakan tiga jenis projek, iaitu kilang padi, stesen pam minyak dan stesen janakuasa elektrik. Stesen janakuasa elektrik yang dibina pada tahun 1956 itu, memberikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan Gunung Semanggol, Bukit Putus, Bukit Gunung Semanggol dan Kubu Gajah. Kadar bayaran dikenakan kepada pengguna-pengguna adalah sebanyak RM1.00 sebulan bagi sebuah rumah selama satu dekad. Selepas itu stesen janakuasa elektrik diambil alih oleh Lembaga Letrik Negara (kini dikenali sebagai Tenaga Nasional Berhad). Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua persatuan itu hingga meninggal dunia pada tahun 1974.

3. ASPEK POLITIK

Perjuangan beliau juga meliputi bidang politik. Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh Kesatuan Melayu pada masa itu seperti Ibrahim Yaakub dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi (meninggal dunia pada 25 September 1969).

Bersama-sama dengan kelahiran MATA dalam suatu persidangan di bangunan al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 2 000 orang para alim ulama dan cerdik-pandai orang Melayu serta utusan dari Singapura dan Indonesia. Pada 22-24 Mac 1947 lahir pula Pusat Perekonomian Melayu seMalaya, atau singkatannya PEPERMAS. Untuk memenuhi hasrat, orang Melayu kepada suatu pertubuhan politik yang bertujuan mencapai kemerdekaan, maka pada 13-14 Mac 1948, sebuah lagi persidangan telah diadakan di al-Ihya al-Syarif yang dihadiri oleh lebih kurang 5 000 orang. Antara yang hadir ialah Dr. Burhanuddin al-Hilmi.

Persidangan ini telah ini telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik yang berasaskan Islam, dengan diberi nama Hizbul Muslimin atau HAMIM. Parti ini ditubuhkan pada 14 Mac 1948. Nama ini dicadangkan oleh Abu Bakar al-Baqir, dan beliau jugalah yang mengetuai parti Islam itu. Selepas itu dilakukanlah lawatan ke seluruh Malaya, bertujuan memberi penerangan kepada rakyat muslimin dan membentuk cawangan di tempat yang boleh dibentuk. Dalam waktu yang tidak lama, parti itu mempunyai cawangan di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Melaka, Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.

Berhubung dengan suara dan sikapnya yang lantang menuntut kemerdekaan maka parti ini ditakuti oleh pihak berkuasa, terutama penjajah British. Maka dilemparkanlah kepadanya tuduhan dan tohmahan-tohmahan. Ia juga dituduh sebagai parti "merah" (komunis). Dato' Onn Jaafar, yang pada masa itu memimpin UMNO, bersikap agak lunak, bahkan dengan secara sindiran mengingatkan anggota UMNO bahawa pertumbuhan politik di Gunung Semanggol itu ialah suatu bahaya dari gunung yang patut diawasi. Pengaruh Gunung Semanggol dalam membentuk pemikiran umat Islam di Malaya sesungguhnya amat ketara.

Ketakutan pihak berkuasa British terhadap perkembangan cita-cita Islam dalam politik memuncak ketika pada 29 Julai 1948, pukul 12 tengah hari tiga orang pemimpin utama HAMIM ditangkap. Mereka ialah Syeikh Abu Bakar al-Baqir, Ustaz Abd. Rabb al-Tamimi, dan Ustaz Abd. Rauf Nur. Syeikh Abu Bakar dibebaskan daripada tahanan dalam bulan Oktober 1952.

Ekoran daripada penahanan ini HAMIM menjadi lumpuh dan akhirnya terkubur. Namun, semangat perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi Tanah Melayu diwarisi oleh parti baru, iaitu Parti Islam Se-Malaya, sekarang Parti Islam Se-Malaysia, (PAS). Syeikh Abu Bakar al-Baqir telah meninggal dunia pada 13 Julai 1974. Namun, bekas tangannya masih tetap tinggal. Ma'ahad al-Ihya al-Syarif masih berdiri dengan kukuhnya. Dari segi kewangan meskipun sangat sederhana namun ia tidak mengecewakan. Ia mempunyai ladang-ladang seperti ladang getah dan kelapa sawit, serta bendang. Kebun getahnya ada lebih kurang 40 ekar, kebun kelapa sawitnya seluas 60 ekar dan sawah padi ada 12 ekar. Ia juga mempunyai kedai di Sri Manjong yang disewakan RM350.00 sebulan. Selain itu, sekolah ini juga mendapat bantuan daripada Majlis Agama Negeri Perak. Dan masih ada sumber-sumber lain.

Walau bagaimanapun, fungsinya sebagai salah satu pusat perjuangan umat Islam telah berhenti sejak kehilangan Syeikh Abu Bakar al-Baqir. Tetapi sebagaimana Padang Rengas, Gunung Semanggol juga telah meletakkan beberapa baris batu-bata pada binaan Malaysia merdeka. Sedikit sebanyak ia telah berjaya merombak perasaan, pemikiran, dan mentaliti umat Islam terutama di Perak. Dari suatu bangsa yang jiwanya terjajah dan penuh perasaan rendah diri, diangkatnya menjadi suatu bangsa yang tahu harga diri dan berasa sanggup melakukan perubahan besar. Mengenang segala jasa yang tidak ternilai, Syeikh Abu Bakar Al-Baqir telah dikurniakan Anugerah Tokoh Guru 1975.

Kuasa Parti HAMIM sebagai salah satu tenaga pendesak adalah nyata. Ia mempercepat penjajah menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Bagaimana semangat kemerdekaan itu dibangunkan kepada pelajarnya dikisahkan oleh tokoh
Pengasuh. Semangat kemerdekaan itu disalurkan juga melalui pelajaran. Guru-guru yang berasal dari dari Indonesia sangat membantu dalam membangunkan semangat merdeka itu. Setiap pagi dinyanyikan lagu Indonesia Raya (Lagu Kebangsaan Republik Indonesia). Juga tokoh-tokoh kebangsaan diminta berucap di sini, antaranya termasuklah Datuk Asri Muda.

Menurut kisah itu, Syeikh Abu Bakar al-Baqir mengatakan bahawa kemerdekaan bagi Tanah Melayu adalah seperti buah yang sudah masak. Orang putih hanya menunggu kejatuhannya sahaja. Tetapi mereka tidak akan menyerahkannya kepada orang-orang agama. Oleh itu, perlu kita rebut supaya Malaya dapat dijadikan negara Islam.

Dalam suatu kenyataan akhbarnya beliau pernah menyebutkan: “Pada waktu dunia penuh dengan berbagai-bagai pancaroba yang masing-masing menegakkan fahamannya, maka di sinilah setiap umat Islam mesti kembali kepada ajaran Al-Quran yang di dalamnya melengkapi segala kehendak alam untuk mendapat keamanan dan keadilan yang sebenar-benarnya. Jika seluruh manusia mengambil Al-Quran menjadi panduan hidupnya nescaya dunia tidaklah menerima nasib seperti yang ada pada hari ini.

Tentang fahaman fikahnya menurut Ustaz Shahar Mursyid Abu Bakar, Setiausaha Persatuan dan Ma'ahad al-Ihya al-Syarif, Syeikh Abu Bakar menolak beberapa perkara yang ditampalkan orang kepada mazhab Syafii seperti talkin, fidyah sembahyang, dan sepertinya. Beliau ingin agar umat Islam itu kembali kepada al-Quran.

KESIMPULAN

Syeikh Abu Bakar Al-Baqir merupakan seorang ulama yang banyak membawa pembaharuan dalam usaha mengembangkan Islam di Tanah Melayu. Beliau berjaya membuka pemikiran, semangat, dan mempengaruhi ramai Umat Islam kepada usaha yang dilakukannya. Oleh sebab itu, beliau merupakan seorang tokoh ulama yang dihormati. Malahan, beliau turut menjadi Anugerah Tokoh Guru 1975.

Penahannya selama empat tahun walaupun serba sedikit mencacatkan perjalanan Maahad Ehya Al- Syarif, namun akhirnya dapat disusun semula untuk menjadi institusi pendidikan yang mementingkan pendidikan keagamaan tanpa mengetepikan pendidikan formal.

Langkah Tercipta
Munsyid : UNIC


Semalam aku kelukaan,
kecewa kehampaan,
mencalar ketabahan.


Mimpi yang sering ku harapkan,
menjadi kenyataan,
namun tak kesampaian.

ALLAH..
inginku hentikan langkah ini,
bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
semangat tenggelam,
lemah daya,

Haruskah aku mengalah,
namun hati kuberbisik,
inilah dugaan.


Dan mataku kini terbuka,
pada hikmah dugaan,
uji keimanan (menguji keimanan),

Tak dilontarkannya ujian,
di luar kekuatan,
setiap diri insan.

ALLAH..
pimpinlah diriku,

tuk bangkit semula,
meneruskan langkah,
perjuangan ini,
cekalkan hati dan semangatku.

Kurniakan ketabahan,
agar mimpi jadi nyata,
PadaMU ku meminta.

Daku mohon agung kudratMU,
Wahai Tuhan yang Satu,
Segalanya dariMU.

Sejak kebelakangan ini, pelbagai masalah muncul dalam hidupku. Segala yang dirancang tidak sepenuhnya tercapai. Hatiku luka dan menjadi pedih. Hampir sudah aku berputus asa dan mengalah. Maha Suci Allah. Manusia hanya merancang namun Allah yang menentukan. Namun, aku tidak menyalahkan takdir. Segalanya sudah tercatat di luh mahfuz. Aku kuatkan tekad dan semangat untuk menghadapi segalanya. Aku cuba untuk berfikiran positif. Menceriakan kembali diri ini walaupun pada hakikatnya ianya sekadar berpura-pura. Biarlah orang lain tidak mengetahui apa yang terjadi kerana aku tidak bersedia untuk berkongsi. Aku yakin, setiap yang terjadi ada hikmahnya. Mungkin juga ini adalah kaffarah dari Allah SWT. Mungkin juga Allah SWT sengaja mahu aku mengingati-Nya tatkala aku hampir melupai-Nya. Ya Allah, betapa lemahnya diriku ini. Seringkali lalai dalam mengingati-Mu. Seringkali alpa dalam mentaati perintah-Mu. Ya Allah, berikanlah aku petunjuk dan hidayat dalam menghadapi semua ini. Sesungguhnya, aku adalah insan yang dhaif.

Di kala kesepian ini

Muhasabah ku sendiri

Memikirkan kejadian Maha Pencipta

Merenungi kekurangan diri

Menginsafi kejadian diri

Tak terhitung segala dosaku

Sesungguhnya,

Betapa lemahnya diri ku ini

HambaNya yang penuh dengan kelemahan

Yang sentiasa bergelumang dengan dosa

Betapa aku hanyalah insan yang penuh dengan kedaifan

Di kala kesepian ini

Muhasabah ku lagi

Mampukah aku untuk menjadi seorang mujahidah solehah

Yang tetap kukuh imannya mempertahankan Islam

Yang tidak pernah kenal erti putus asa

Yang membantu dalam memperjuangkan Islam

Ah, betapa kerdilnya diri ku ini

Tiada jawapan yang dapat ku berikan

Betapa jauhnya aku berbanding mujahidah Palestin

Yang sanggup mengorbankan segalanya demi kegemilangan Islam

Di kala kesepian ini

Aku bermuhasabah sendiri

Mampukah aku untuk menjadi sayap kiri perjuangan sang suami

Mampukah aku untuk mendidik anak-anakku

Mampukah aku untuk membahagiakan suamiku

Mampukah aku untuk menjadi seorang isteri yang solehah

Yang taat dalam memenuhi perintah suaminya

Mampukah aku menghadapi semua itu?

Terdiam ku seketika

Puas sudah aku memikirkan jawapannya

Namun,

Tiada jawapan yang dapat ku katakan

Betapa aku begitu lemah disisi-Nya

Padamu Ya Allah

Jadikanlah aku insan yang mampu berbakti pada insan lain

Jadikanlah aku thabat dalam perjuangan

Jadikanlah aku insan yang tidak kenal erti penat lelah

Jadikanlah aku ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan

Dan masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit

Yang mengamalkan konsep amar makruf nahi mungkar

Demi mengejar keredhaan-Mu

Mengecap kemanisan bermujahadah.

Menjadikan syahid sebagai cita-cita tertinggi

Dan syahid kerana memperjuangkan Islam

Agar Islam dapat diperjuangkan kembali

Islam dapat ditegakkan di muka bumi ini

Mengulangi kembali sejarah kegemilangan Islam pada masa dahulu

Menjadikan sejarah perjuangan Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah, dan Saidatina Fatimah sebagai ikutan sepanjang zaman

Mengangkat kembali martabat Islam

Mengangkat kembali maruah Islam yang diinjak-injak

Dan pada saat itu

Islam pasti beroleh kemenangan!


Hak Cipta Terpelihara 2009.



Di saat ini,

Terbayang kembali,

Saat mula menimba ilmu di sini,

Sebuah perkenalan dihulur,

Salam persahabatan disambut,

Ku panjatkan kesyukuran pada Ilahi,

Dipertemukan sahabat seperti mu,

Dikurniakan sahabat yang sejati,

Sahabat dikala suka dan duka,

Betapa indahnya waktu itu,

Ingin ku ulangi kembali,

Namun,

Masa tidak mungkin akan kembali,

Oleh itu,

Hargailah sebuah persahabatan,

Hargailah ia sebelum terjadinya perpisahan,

Hargailah setiap detik indah bersama,

Kerana,

Di kala perpisahan itu,

Kita pasti akan mengenang kembali,

Di saat itu,

Kita hanya mampu berserah,

Ya Rabbul Izzati,

Limpahkan rahmat pada kami semua,

Kekalkanlah ikatan hati antara kami,

Agar kami dapat memelihara persahabatan ini,

Persahabatan yang dibina kerana Allah,

Semoga,

Ianya mendapat keredhaan Mu,

Hanya pada Mu,

Kami berserah,

Buat sahabatku sekalian,

Ku harap agar ikatan ini,

Kekal hingga ke akhir hayat,

Semoga,

Kita masih seperti dulu,

Tetap menjadi sahabat yang setia,

Buatmu sahabat,

Salam sayang dariku.



Hak Cipta Terpelihara 2009.